Tanah kerajaan boleh diusahakan, ikut cara yang sah - Saarani

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Segala aktiviti berkaitan projek tanaman makanan dan pertanian boleh diusahakan atas tanah kerajaan, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan negeri secara prinsipnya telah menyediakan sumber tanah yang boleh diakses untuk dibangunkan bagi tujuan tersebut iaitu kawasan yang telah diwartakan sebagai Kawasan Zon Keterjaminan Makanan dan mana-mana tanah kerajaan sesuai.

Menurutnya, rakyat yang tidak mempunyai tanah tetapi berminat untuk mengusahakan projek tanaman makanan boleh mengemukakan kertas cadangan dan mengisi borang permohonan bersama pelan tapak ke Pejabat Daerah dan Tanah untuk pertimbangan.

"Pertimbangan ini sama ada melibatkan permohonan bagi kategori Pemberikan Tanah Kerajaan atau Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

"Bagi permohonan Pemberimilikan Tanah Kerajaan berkeluasan 0.8 hektar ke bawah (Tanah Tersepit), kuasa melulus ialah pentadbir tanah, manakala melebihi 0.8 hektar boleh dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri untuk kelulusan dengan tempoh pajakan tidak melebihi 99 tahun.

"Kategori TOL pula, permohonan boleh diajukan kepada Pentadbir tanah bagi tanah yang berkeluasan 2.2 hektar ke bawah dan yang melebihi 2.2 hektar perlu dibawa untuk pertimbangan kelulusan pihak berkuasa negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Saarani berkata, pertimbangan sama juga diberikan kepada permohonan kategori Pajakan Tanah Rizab iaitu tanah lapang, tanah lombong dan tanah rizab sungai yang berwarta.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, permohonan mengusahakan tanah bagi kategori itu akan melalui proses penyempurnaan pewartaan dan penawaran pajakan.

"Permohonan Pajakan Tanah Rizab untuk aktiviti pertanian boleh dipajak dengan tempoh minimum setahun dan maksimum 21 tahun, manakala kelulusan pihak berkuasa negeri pula melibatkan tempoh pajakan tidak melebihi 21 tahun," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan adalah tidak benar dakwaan petani perlu meneroka terlebih dahulu tanah kerajaan sebelum membuat permohonan.

Jelasnya, perkara itu adalah satu kesalahan dan sekiranya permohonan mengusahakan tanah tersebut diluluskan, petani terlibat akan dikenakan denda.

"Memang ramai orang teroka dahulu walau salah. Jadi bila teroka dan bercucuk tanam ada hasil kemudian memohon kita akan lulus, tetapi kena bayar denda enam kali ganda," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!