Nelayan gagal hentikan projek tambak laut PSI

Kumpulan nelayan dan NGO yang hadir mengikuti keputusan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Khamis.
Kumpulan nelayan dan NGO yang hadir mengikuti keputusan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Khamis.
A
A
A

GEORGE TOWN - Permohonan tujuh nelayan dan dua wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghentikan projek tambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI) tidak berjaya selepas ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas mendapati tiada sebarang tindakan menyalahi undang-undang, ketidakwajaran atau keadaan tidak rasional berhubung kelulusan projek kerajaan negeri terbabit.

Menurutnya, antara sebab lain permohonan itu ditolak disebabkan kes itu difailkan di luar masa ditetapkan, mengambil kira tarikh pengumuman projek berkenaan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebagai asas permohonan iaitu pada 1 September tahun lalu.

"Pertama sekali, saya memutuskan bahawa permohonan ini difailkan di luar masa yang ditetapkan dan dalam hal ini saya bersetuju dengan responden.

"Masa mula berjalan pada 1 September berdasarkan pengumuman oleh Ketua Menteri Pulau Pinang kerana itu adalah tarikh apabila pemohon pertama kali mengetahui tentang keputusan yang dicabar.

"Oleh itu, berdasarkan tarikh di mana asas untuk permohonan itu mula timbul pada 1 September, hari terakhir untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman adalah pada 1 Disember.

"Oleh itu permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 29 Disember adalah di luar masa ditetapkan," katanya menerusi sidang video pendengaran semakan kehakiman di sini, pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan tujuh nelayan bersama dua wakil Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) telah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menghentikan projek tambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI) di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Kesemua sembilan pemohon telah menyaman Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLANMalaysia), Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri dan pemaju projek, SRS Consortium Sdn Bhd masing-masing selaku responden pertama hingga keempat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!