PAJSK: KPM jamin tiada data pelajar tercicir bagi kemasukan universiti

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis. Foto Bernama
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa data pelajar sekolah awam mahupun swasta termasuk berkaitan skor Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) tidak tercicir daripada kementerian itu, terutama bagi tujuan kemasukan ke universiti.

Beliau berkata, walaupun ada isu berbangkit berkaitan perkara itu, namun KPM telah mengambil tindakan susulan dan komited memastikan semua markah PAJSK pelajar dapat dipenuhi dan tiada keciciran.

Fadhlina berkata, dalam masa sama, KPM juga sedang menambah baik sistem pengumpulan dan penyaluran data skor PAJSK pelajar sekolah swasta dan di luar kementerian itu.

"Inisiatif tindakan ini akan menambah baik kaedah pengumpulan dan penyaluran data skor PAJSK pelajar sekolah swasta dan luar KPM dengan menyediakan akses perekodan data PAJSK yang sama seperti sekolah bawah KPM.

"Selain itu, KPM juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menyelaras data skor PAJSK agar isu ini tidak lagi berbangkit di masa hadapan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang ingin tahu sama ada prosedur terkait PAJSK berbeza bagi sekolah selain bawah KPM susulan masalah pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di universiti pilihan pertama atau kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kerana markah PAJSK kosong.

Fadhlina berkata, laporan dan pengumpulan skor PAJSK pelajar sekolah selain di bawah pentadbiran KPM perlu dikemukakan secara offline melalui templat seragam yang disediakan KPM untuk dihantar kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPI) bagi tujuan tawaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menjawab soalan tambahan Wan Razali berhubung jumlah pelajar yang menerima tawaran kemasukan ke IPTA menerusi UPUonline, Fadhlina berkata, berdasarkan data KPM setakat ini, seramai 4,710 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah menerima tawaran penempatan di IPTA dengan 954 daripadanya ditawarkan tempat berdasarkan pilihan pertama permohonan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 2,838 orang akan disenaraikan rayuan penempatan IPTA berdasarkan merit di dalamnya yang terkandung markah 10 peratus PAJSK," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!