Kemas kini sejarah Lembah Bujang dipertimbang - Aaron
PETALING JAYA - Dapatan baharu mengenai sejarah Kedah Tua khususnya Lembah Bujang akan dipertimbangkan untuk dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengemas kini catatan sedia ada dalam subjek berkaitan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perkara itu walau bagaimanapun akan diperhalusi mengikut naratif dapatan terbaharu yang dikongsikan dalam persidangan antarabangsa anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (PKHM).
"Kita akan lihat (bawa dapatan kepada KPM), memang sudah ada dalam sejarah (Kedah Tua) tetapi penemuan baharu nanti kita perlukan naratif mengikut dapatan baharu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa: Sejarah Kedah Tua berdasarkan Catatan Yi-Jing, pada Khamis.
Seramai 500 penyelidik, ahli akademik dan sejarawan dari dalam dan luar negara berkongsi dan membentangkan dapatan terkini berkaitan sejarah Kedah Tua khususnya Lembah Bujang menerusi sumber catatan pengembara China, Yi-Jing.
Dalam pada itu menurut Aaron, perkongsian menerusi persidangan tersebut akan melengkapkan sejarah negara secara konkrit berdasarkan sumber luar yang diyakini kesahihannya.
Beliau menjelaskan, dapatan baharu turut melibatkan perbandingan secara komprehensif berdasarkan penemuan terkini dalam bidang penyelidikan sejarah dan arkeologi negara.
"Sejarah Kedah Tua merupakan antara khazanah berharga negara dan sebagai sebuah kerajaan purba yang pernah wujud di utara Malaysia, ia memainkan peranan penting dalam perkembangan tamadun awal di rantau ini.
"Kewujudan catatan Yi-Jing, seorang pendeta dan sarjana Buddha dari China yang melawat Asia Tenggara pada abad ke-7, telah memberi gambaran berharga tentang kehidupan masyarakat di Kedah Tua pada zaman tersebut.
"Dalam catatannya, Yi-Jing menggambarkan Kedah Tua sebagai pusat perdagangan yang maju dan masyarakatnya memiliki kebudayaan yang kaya dan unik," katanya.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, persidangan antarabangsa berkenaan turut diadakan bersempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun ini.
"Sejak terjalinnya hubungan diplomatik, Malaysia dan China telah meneroka pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan, pelancongan, kebudayaan, pendidikan, kesihatan, sains dan teknologi.
"Saya percaya hubungan ini akan terus diperkukuhkan melalui program-program yang menjurus kepada budaya dan akademik," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!