Bekas guru sastera kongsi ilmu bacaan al-Quran

Noor Huda (kiri) mengajar bacaan al-Quran yang betul kepada Khatijah.
Noor Huda (kiri) mengajar bacaan al-Quran yang betul kepada Khatijah.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang bekas guru sastera di sebuah sekolah swasta di bandar Kota Bharu gembira apabila dapat berkongsi ilmu membaca al-Quran dengan masyarakat setempat.

Noorhuda Ahmad, 53, yang mula mengajar al-Quran lebih 10 tahun lalu menjadikan masjid dan kediaman individu sebagai rutin hariannya.

Menurut Noorhuda, permintaan bukan sahaja dalam kalangan ibu bapa yang memintanya mengajar anak-anak membaca al-Quran malah warga emas dan ibu tunggal turut berminat.

"Sebenarnya ramai ibu bapa dan warga emas yang bersemangat untuk memperbetulkan bacaan al-Quran mereka menjadi lebih baik," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Noor Huda memberitahu, jadualnya bermula selepas solat Subuh di masjid sehingga jam 7 malam setiap hari.

Noor Huda (dua dari kiri) mengajar al-Quran kepada sekumpulan wanita di Kampung Kubang Terap, Pasir Mas.
Noor Huda (dua dari kiri) mengajar al-Quran kepada sekumpulan wanita di Kampung Kubang Terap, Pasir Mas.

Ibu kepada enam anak itu juga bersyukur jika lebih ramai yang mahu memperbaiki bacaan al-Quran kerana itu akan menjadi bekalan akhirat setiap umat Islam.

Noor Huda juga tidak menetapkan sebarang bayaran namun ada pelajarnya yang memberi saguhati sebagai tanda terima kasih kerana berkongsi ilmu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pelajarnya di Kampung Kubang Terap di sini, Khatijah Yusoff, 70, mengumpul rakan-rakan dan jiran untuk bersama mendalami bacaan al-Quran.

Khatijah memberitahu mahu memperbetulkan bacaan al-Quran sehingga akhir usia apabila tidak berpeluang belajar kalam ALLAH SWT itu kerana kekangan menjaga adik-adik pada usia mudanya.

"Saya menjemput Noor Huda kerana nekad melancarkan bacaan dan insya-ALLAH akan meneruskan pengajian ini sehingga akhir hayat," katanya.

Warga emas itu memberitahu, rumahnya akan didatangi rakan dan jiran seminggu sekali untuk bersama-sama memperkemaskan bacaan al-Quran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!