RUU Mufti selari dengan amalan di Kelantan - Mufti

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohamad Shukri
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohamad Shukri
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Mufti Kelantan menyokong sepenuhnya Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 dan ia selari dengan amalan di negeri ini sejak sekian lama.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata, Kelantan mempunyai kekuatan Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Kita bersetuju dengan RUU Mufti kerana selari dengan yang Enakmen MAIK dan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Kedua-duanya mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah serta demikian juga RUU Mufti nanti akan sealiran dengan negeri ini,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Ahli Politik dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Komited Memperkasa Budaya Tolak Rasuah di Kompleks Kota Darulnaim.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri turut berbangga kerana amalan tersebut di Kelantan sudah difikirkan oleh ulama silam dan digunakan di negeri ini hingga sekarang.

“Saya berasa amat berbangga kerana datuk nenek kita sudah memperuntukkan perkara itu dan menjadi amalan di Kelantan,” katanya.

Tambahnya, pandangan mazhab banyak digunakan dari segi akademik tetapi dalam aspek penyelarasan untuk amalan pula, pandangan tidak dibuka luas dan mengambil yang muktabar iaitu tasawuf Imam Ghazali serta Imam Junaid.

Artikel Berkaitan:

“Bukan lihat aspek akademik, tetapi lihat dari segi amalan yang memerlukan satu penyelarasan untuk keharmonian masyarakat.

“Benda-benda lain pun begitulah, kita ambil satu atau dua untuk amalan, jika tidak masyarakat akan kacau,” katanya

Pada 2 Julai lalu, RUU tersebut dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu dipinda bagi mengadakan peruntukan melibatkan mufti, penentuan mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan.

RUU selainnya memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan hukum-hakam agama serta tatacara mengeluarkan fatwa atau pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah, selain penentuan arah kiblat.

Turut memperincikan badan Jawatankuasa seperti Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Rukyah Hilal, dan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh mufti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!