Raih lebih RM20,000 sebulan hasil jualan petai
BESUT - Musim petai berbuah menjadi limpahan rezeki buat seorang peniaga dari Kampung Bekok di sini apabila mampu meraih pendapatan mencecah lebih RM20,000 dalam tempoh sebulan.
Wan Noor Ajman Wan Setapa, 51, berkata, permintaan terhadap ulam tersebut meningkat berlipat kali ganda terutama apabila memasuki musim berbuah kerana harganya lebih murah.
Menurutnya, musim petai pada tahun ini bermula awal iaitu sejak Mei lalu berbanding kebiasaan pada bulan Ogos hingga Oktober.
"Berdasarkan kebiasaan, musim petai akan bermula antara Ogos hingga Oktober namun tahun ini ia berbuah lebih awal iaitu sejak bulan Mei lalu.
"Sepanjang musim ini juga saya dapat banyak permintaan terhadap petai sehingga ada ketika saya tidak menang tangan untuk melayaninya," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Wan Noor Ajman berkata, setakat ini dia berpuas hati dengan hasil yang diperoleh walaupun terpaksa membanting tulang untuk memproses ulam tersebut sebelum dijual.
Katanya, dia mendapatkan bekalan petai daripada pekebun dan penduduk di sekitar kawasan Hulu Besut sekali gus dapat membantu menjana sumber ekonomi penduduk setempat.
"Apabila orang luar mulai kenal dan tahu mengenai keistimewaan petai Hulu Besut, ia secara tidak langsung dapat mempromosikan kampung kami agar lebih ramai pelanggan yang datang ke sini," katanya.
Jelas Wan Noor Ajman, petai-petai tersebut dijual antara harga RM10 hingga RM70 bagi jualan runcit dan borong.
"Saya jual petai ini dengan dengan harga RM10 setiap lapan keping bagi jualan runcit dan harga borong pula antara RM60 hingga RM70 untuk 100 keping.
"Selain digemari oleh penduduk tempatan, petai-petai ini turut menerima tempahan dari Kelantan, Selangor, Johor dan Pahang," katanya.
Ditanya keistimewaan tumbuhan itu, katanya, ia bukan sekadar dibuat ulam bersama nasi malah turut digunakan dalam masakan lain seperti sambal udang petai, tumis bilis petai serta beberapa resipi lain.
"Jika sebelum ini hanya generasi lama yang menjadikan petai sebagai ulam, sekarang ia menjadi makanan pilihan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan bangsa.
"Buah petai juga dipercayai mempunyai khasiat semula jadi dipercayai memberi manfaat untuk kesihatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!