Keropok beracun: Lima individu diambil keterangan

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Fisol
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Fisol
A
A
A

ALOR SETAR - Lima individu telah ambil keterangan bagi melengkapkan siasatan dua beradik termakan keropok disyaki bercampur racun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini pada Ahad lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, beberapa individu itu diambil keterangan sejak hari kejadian, iaitu Ahad hingga Rabu lepas.

Beliau berkata, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan cuai berkenaan benda beracun.

"Kematian tersebut di bawah mati mengejut (SDR), namun penyiasatan kita ketika ini mengikut dua seksyen tersebut termasuklah pengabaian.

"Untuk siasatan itu, berilah ruang kepada kami untuk melakukan siasatan berkaitan perkara tersebut," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan kes kanak-kanak termakan keropok beracun.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah pada Khamis.

Dalam pada itu, Fisol turut mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai jiran mangsa di Serdang pada jam 12 tengah hari Rabu dan kini dia direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Tambahnya, seorang lagi mangsa yang turut makan keropok terbabit kini masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seorang daripada dua beradik yang termakan keropok disyaki bercampur racun meninggal dunia di HPP pada jam 8.40 pagi.

Jenazah Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling pada jam 9.45 malam hari sama, manakala adiknya, Muhammad Luth, 2, dilaporkan masih menerima rawatan di HPP.

Sebelum ini, media melaporkan, dua kanak-kanak terbabit kritikal selepas termakan keropok disyaki bercampur racun yang digantung di pagar dawai besi dekat kebun tidak jauh dari rumah mereka.

Susulan itu, seorang lelaki dipercayai pemilik kebun berusia 33 tahun direman selama enam hari bermula 11 hingga 17 Julai bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak yang disyaki makan keropok beracun itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!