[VIDEO] Muhyiddin pulang 'paku buah keras' kepada Anwar

A
A
A

SHAH ALAM - Tan Sri Muhyiddin Yassin memulangkan 'paku buah keras' kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa Perdana Menteri yang tidak memahami Perlembagaan Persekutuan.

Malah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu meminta Anwar untuk menjelaskan bahagian yang didakwa tidak difahami olehnya.

"Anwar kata saya baca sebahagian sahaja daripada Perlembagaan. Saya nak tanya Anwar, bahagian mana yang saya tak baca?

"Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan mana-mana ahli Parlimen yang terhenti menjadi ahli partinya, maka kerusi di Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan.

"Selaras dengan peruntukan ini, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) telah membuat pindaan Perlembagaan parti untuk memasukkan keadaan wakil rakyat terhenti keahliannya serta merta apabila gagal mematuhi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Anwar (kiri), Muhyiddin
Anwar (kiri), Muhyiddin

Sebelum ini, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengingatkan Ahli Parlimen Pagoh itu supaya membaca tafsiran undang-undang Perlembagaan Persekutuan mengenai Akta Anti Lompat Parti secara keseluruhan.

Beliau turut mempertahankan keputusan yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai kedudukan enam Ahli Parlimen Bersatu yang dikekalkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Muhyiddin menjelaskan, antara arahan bertulis yang diberi kepada enam ahli Parlimen terlibat ialah menarik balik sokongan yang diberikan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ekoran bercanggah dengan dasar parti serta mandat rakyat yang memilih mereka.

"Kalau mereka menarik balik sokongan dan kembali ke pangkal jalan dalam tempoh yang ditetapkan dalam arahan tersebut, maka mereka kekal sebagai ahli parti dan kekal sebagai ahli Parlimen.

"Itulah semangat yang tersurat dan tersirat dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

"Masalahnya mereka dengan sengaja tidak mematuhi arahan parti dengan berterusan menyokong pihak parti lawan," ujarnya.

Menurut Presiden Bersatu itu, keahlian mereka dalam parti secara serta-merta mengikut peruntukan Fasal 10.4 Perlembagaan parti dan berlakulah kekosongan kerusi di Dewan Rakyat menurut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

"Saya faham betul peruntukan Perlembagaan ini. Yang tak faham ialah Anwar," tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!