Cicit Tokku Paloh nafi tiang surau jadi tempat bersandar Nabi Khidir
KUALA TERENGGANU - Tiada bukti sahih mengesahkan sebatang tiang di Surau Tokku Paloh di sini dijadikan sebagai tempat bersandar Nabi Khidir AS malah cerita itu turut dinafikan oleh cicit Tokku Paloh.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, Pegawai Penguatkuasa Syariah telah pergi ke surau berkenaan yang terletak di Kampung Paloh, di sini pada pagi Rabu bagi menjalankan siasatan awal susulan penularan video di laman sosial, baru-baru ini.
Menurutnya, beberapa individu telah ditemu bual antaranya penduduk setempat termasuk cicit Tokku Paloh, Syed Khairul Syed Mustafa yang merupakan imam di surau berkenaan.
"Beliau (cicit Tokku Paloh) tidak pernah mendengar cerita berkaitan Nabi Khidir yang dikatakan hadir dan ada bersandar di sebuah tiang dalam surau berkenaan.
"Beliau juga turut menafikan dakwaan video tular itu yang mengatakan tiang tersebut berada di surau ini," katanya di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, katanya, difahamkan, video tersebut adalah video lama yang dirakam sekitar empat atau lima tahun lalu kerana warna dinding rumah yang berada ditepi surau berkenaan sudah berubah.
"Hasil temu bual dengan penduduk setempat dinding rumah tersebut dicat baru sekitar empat atau lima tahun yang lepas.
"Penduduk setempat juga langsung tidak mengenali individu-individu yang terdapat dalam video tular itu dan mereka dipercayai orang luar yang datang melawat surau berkenaan," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya masih menyiasat dakwaan video yang bertajuk ‘Tabaruk Tiang Nabi Khidir Bersandar di Terengganu' yang kembali ditularkan sejak Ahad lalu.
“JHEAT akan terus menyiasat kes ini secara teliti, namun setakat ini tidak terdapat bukti yang sahih untuk menyokong kewujudan tiang tersebut sebagai tempat bersandar Nabi Khidir,"kata beliau.
Baru-baru ini, tular video berdurasi 2 minit 58 saat menerusi aplikasi Tik Tok yang dimuat naik pemilik akaun Remy Lepat Liat.
Video tersebut memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita berkunjung ke sebuah surau didakwa berada Makam Tokku Paloh di Kuala Terengganu.
Beberapa pengunjung dilihat diberi penerangan oleh seorang lelaki selain terdapat pengunjung yang menunaikan solat serta mengusap tiang yang didakwa menjadi tempat Nabi Khidir bersandar.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!