Tiga kakitangan PBT di Melaka didakwa terima suapan

Tiga kakitangan PBT mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Melaka, pada Khamis atas pertuduhan menerima suapan.
Tiga kakitangan PBT mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Melaka, pada Khamis atas pertuduhan menerima suapan.
A
A
A

MELAKA - Seorang wanita dan dua rakan sekerja di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa, atas tuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat pengiklanan.

Kesemua tertuduh Suhana Surin, 43, Mohd. Rozaiman Rahmat, 45, dan Patrick Tan Peng Sin, 34, mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Suhana yang merupakan Pembantu Tadbir di Jabatan Korporat dan Khidmat Masyarakat Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dihadapkan dengan empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,900.

Manakala rakannya, Mohd. Rozaiman yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir di Unit Penguatkuasaan didakwa dengan tiga pertuduhan membabitkan nilai RM2,900.

Suhana (dua, kiri) dan dua rakannya dibawa keluar dari mahkamah.
Suhana (dua, kiri) dan dua rakannya dibawa keluar dari mahkamah.

Seorang lagi rakannya, Patrick yang bertugas sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan berdepan dua pertuduhan dengan nilai suapan RM5,000.

Kesemua tertuduh didakwa menerima suapan daripada pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma melibatkan jumlah keseluruhannya RM9,800 bertempat di daerah Alor Gajah, antara 20 Mac 2022 sehingga 19 April tahun lalu.

Difahamkan suapan tersebut bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan ditawarkan di PBT berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan bagi kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammad Azriff Firdaus mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Suhana diwakili Peguam Muhammad Denial Khairul Hizam merayu jaminan rendah dengan alasan dia ibu yang mempunyai tiga orang anak berusia 21, 13 dan 6 tahun yang kesemuanya masih belajar.

Dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam masing-masing merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan mereka tidak berkemampuan untuk membayar wang jaminan tinggi kerana mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri sekali setiap bulan di pejabat SPRM dan pasport diserahkan kepada mahkamah, jika ada.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 13 Ogos depan bagi sebutan semula dan serahan dokumen bagi tertuduh Rozaiman dan Patrick, manakala tarikh 22 Ogos ditetapkan bagi Suhana.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!