TH cadang maklum tawaran haji dua tahun lebih awal
SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) bercadang untuk membuat pemakluman tawaran haji kepada bakal jemaah dua tahun lebih awal daripada tahun giliran untuk mengatasi isu pendeposit menolak tawaran menunaikan rukun Islam kelima itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, perancangan tersebut antara yang terkandung dalam Blueprint Haji bagi menambah baik dan meningkatkan kualiti perkhidmatan TH.
"Langkah ini akan memberi masa kepada bakal jemaah untuk mencukupkan simpanan bagi kos haji dan juga membuat persediaan dari segi kesihatan dan apa-apa keperluan yang lain.
"Ia kerana seramai 10,036 individu menolak tawaran menunaikan haji bagi musim 1445H/2024M yang dikeluarkan kepada 31,600 orang di bawah kuota rasmi negara dan diperuntukkan Kerajaan Arab Saudi," katanya dalam jawapan bertulis sidang Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan calon jemaah haji mendapat tawaran dan bilangan calon menolak tawaran pada 2024 serta usaha kerajaan bagi menangani masalah penolakan tawaran.
Mohd Na'im menjelaskan, pendeposit TH yang menolak tawaran itu memohon untuk menangguhkan tawaran atas pelbagai faktor seperti masalah kesihatan, kewangan, peribadi, urusan keluarga, pendidikan anak dan masalah cuti selain ada yang tidak menjawab tawaran.
Menurut beliau, pada dasarnya, semua pendeposit Tabung Haji tanpa mengira peringkat umur boleh membuat pendaftaran haji dan akan dipilih untuk menunaikan fardu haji apabila tiba giliran tahun yang diperuntukkan kepada mereka berdasarkan prinsip yang mendaftar dahulu akan didahulukan.
"Sistem pendaftaran terbuka berkenaan diterima pakai oleh umum sejak 1995. Namun meskipun segala persediaan telah dilakukan untuk pergi menunaikan haji, masih terdapat bakal jemaah haji menangguhkan tawaran haji atas pelbagai sebab.
"Terutamanya kerana tidak dapat memenuhi syarat istito'ah (kemampuan tunai haji) seperti kesihatan dan kewangan," ujarnya.
Katanya, sekiranya pendeposit menunda atau menangguh panggilan haji pada tahun semasa, peluang mereka masih ada untuk tahun akan datang tertakluk kepada kekosongan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!