Kaji wakil sebenar rundingan Selatan Thailand

Mohd Rabin
Mohd Rabin
A
A
A

MINGGU lalu, bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohd Rabin Basir telah dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand berkuat kuasa 1 Julai 2024.

Pelantikan Mohd Rabin adalah bagi menggantikan Jeneral Profesor Tan Sri Panglima (B) Zulkifli Zainal Abidin yang menamatkan tugas sebagai fasilitator itu pada 30 Jun lalu.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Negara berkata, kerajaan amat yakin terhadap keupayaan Mohd Rabin untuk merealisasikan misi dengan baik, berkesan dan mampu mencapai impak yang positif serta signifikan kepada Proses Dialog Damai Selatan Thailand.

Kerajaan juga berharap Mohd Rabin dapat memainkan peranan lebih efektif serta konstruktif dalam mempercepatkan usaha ke arah mewujudkan persekitaran aman dan damai di Wilayah Sempadan Selatan Thailand.

Siri letupan bom kereta di Selatan Thailand yang banyak mengorbankan orang awam.
Siri letupan bom kereta di Selatan Thailand yang banyak mengorbankan orang awam.

Dari segi pengalaman, Mohd Rabin mempunyai kewibawaan untuk memikul tugas itu memandangkan latar belakang beliau antaranya pernah bertugas sebagai Setiausaha Pertama di Kedutaan Malaysia di Myanmar; Setiausaha Kedua Kedutaan Malaysia di Kemboja; Pegawai Khas di Kedutaan Malaysia di Sydney, Australia dan Konsular di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India.

Pelantikan Mohd Rabin juga adalah kesinambungan keseriusan kerajaan Malaysia yang sentiasa komited untuk memastikan keamanan di Selatan Thailand dapat dicapai dengan segera seiring komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keprihatinan Anwar adalah berdasarkan kepada tanggungjawab moral bagi membantu proses damai di samping negara ini turut mempunyai kepentingan geopolitik di perbatasan hampir 358 kilometer antara Malaysia-Thailand.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang penglibatan Malaysia dalam rundingan damai, iaitu tujuh kali mesyuarat rasmi dan 11 kali mesyuarat teknikal, proses damai seperti tidak menemui penyelesaian kerana keganasan di Selatan Thailand masih terus berlaku.

Umat Islam di Selatan Thailand mahukan keamanan segera dicapai supaya mereka dapat mencari rezeki dengan tenang.
Umat Islam di Selatan Thailand mahukan keamanan segera dicapai supaya mereka dapat mencari rezeki dengan tenang.

Paling terkini, letupan bom kereta pada 1 Julai lalu di hadapan flat polis di daerah Bannang Sata, Yala yang mengorbankan seorang wanita dan mencederakan 18 yang lain termasuk orang awam serta anggota polis.

Sejak 2005 juga, telah berlaku 62 tragedi bom kereta di Wilayah Narathiwat, Patani, Yala dan Songkhla.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Deep South Watch yang memantau konflik di Selatan Thailand pernah mengeluarkan laporan menyatakan bahawa telah berlaku 22,200 insiden keganasan, menyebabkan lebih 7,000 orang terbunuh dan angka yang cedera melebihi 14,000 orang di wilayah bergolak sejak tahun 2004.

Maka, timbul persoalan adakah rundingan dengan panel Barisan Revolusi Nasional (BRN) adalah perbincangan dengan pihak yang tepat untuk memastikan keamanan di Selatan Thailand.

Jika mereka adalah wakil sebenar kepada puak pemisah, mengapa masih lagi berlaku siri-siri keganasan di wilayah bergolak yang mengorbankan nyawa orang Islam yang tidak bersalah?

Atau pun, panel yang hadir dalam siri rundingan adalah mereka yang tidak mempunyai kuasa dalam memastikan keamanan di wilayah berkenaan memandangkan ada dakwaan mengatakan dalam BRN sendiri wujud dua kumpulan iaitu sayap politik dan militer.

Wujud dakwaan mengatakan yang kerap hadir ke mesyuarat rundingan damai adalah sayap politik sedangkan sayap militer tidak dibawa bersama menyebabkan persetujuan di meja rundingan tidak mencapai matlamat seperti diharapkan.

Oleh itu, adalah penting bagi pihak Kerajaan Malaysia dan Thailand untuk menilai kumpulan sebenar dalam proses damai kerana setiap kali misi rundingan ia melibatkan masa, tenaga dan wang ringgit.

Boleh dipertimbangkan juga untuk mengkaji keperluan melibatkan NGO lain seperti Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) yang mungkin dapat membuka lembaran baharu kepada rundingan damai.

Ia seiring dengan kenyataan Presiden PULO, Kasturi Mahkota yang mengalu-alukan pelantikan Mohd Rabin sebagai fasilitator baharu untuk menyelesaikan konflik di wilayah berkenaan.

Dalam kenyataan Kasturi baru-baru ini, beliau membawa suara rakyat Patani yang menaruh harapan besar kepada Mohd Rabin agar dapat merealisasikan satu proses penyelesaian yang melibatkan semua gerakan pembebasan Patani tanpa berkecuali.

Justeru, apa yang paling penting, ramai yang mahukan keamanan di Selatan Thailand segera dicapai kerana ia adalah penentu kepada kemajuan di kawasan berkenaan yang akan memberikan banyak manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!