[VIDEO] 'Semalam bomba padam, hari ini bakar lagi' - Penduduk

A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk Kampung Sijangkang mulai berang apabila pengusaha e-waste haram sekali lagi bertindak membakar sisa buangan bercampur plastik dan bahan binaan secara terbuka.

Tindakan demikian seolah-olah tidak mengendahkan amaran Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), malah pihak bomba dan penyelamat yang terpaksa memadamkan api bawah tanah berulang kali pada Selasa lalu.

Wakil penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Azrel berkata, plot tanah berukuran kira-kira dua hektar itu didakwa milik individu berbangsa Melayu dan menyewakannya kepada pengusaha e-waste haram tanpa menghiraukan impak aktiviti tersebut kepada komuniti setempat.

Kawasan tapak pembakaran terbuka yang sudah diambil tindakan, namun masih melakukan aktiviti sama. FOTO/ Penduduk Kampung Sijangkang.
Kawasan tapak pembakaran terbuka yang sudah diambil tindakan, namun masih melakukan aktiviti sama. FOTO/ Penduduk Kampung Sijangkang.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana premis terbabit sudah dikenakan amaran, kompaun dan dipasangkan papan tanda larangan oleh JAS.

“Hari ini mereka (pengusaha e-waste haram) bakar lagi di ‘spot’ lain, namun dalam kawasan sama yang bomba dah padamkan api kelmarin.

“Betul-betul berani puak ini, kalau begitu pihak berwajib perlu dapatkan info siapakah pemilik tanah Felcra yang sewakan kepada pengusaha,“ katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Muka depan Sinar Harian bertarikh 26 Jun lalu melaporkan negara kini menghadapi masalah lambakan e-waste seperti telefon bimbit, komputer, pendingin hawa, peti sejuk dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

Bahan buangan terjadual tersebut kini mencecah 365,000 tan setahun iaitu lebih berat daripada 30,000 buah bas setingkat.

Wartawan Sinar Harian menjejaki tapak pembakaran terbuka itu dan mendapati bahan buangan e-waste, plastik serta asbestos dilupuskan dengan kaedah tidak mesra alam mengikut piawaian JAS dan Konvensyen Basel.

Pengusaha e-waste dipercayai telah melupuskan bukti dengan kaedah bakar atau kambus ke dalam tanah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!