Lawrence Cherono digantung 7 tahun kerana doping

Lawrence Cherono mengaku melanggar tiga peraturan anti-doping. Foto Reuters
Lawrence Cherono mengaku melanggar tiga peraturan anti-doping. Foto Reuters
A
A
A

BEKAS pelari maraton nombor satu dunia, Lawrence Cherono dari Kenya dikenakan larangan selama tujuh tahun oleh Unit Integriti Olahraga (AIU) selepas mengaku melanggar tiga peraturan anti-doping, umum badan itu pada Rabu.

Pada Mei 2022, Cherono didapati positif menggunakan trimetazidine (ubat untuk jantung) dan telah digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan bermula 16 Julai tahun yang sama. Larangan rasmi ini berkuat kuasa dari tarikh itu, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

AIU menyatakan bahawa Cherono pada mulanya mendakwa dia secara tidak sengaja menerima antibiotik dan suntikan yang mengandungi bahan tidak diketahui untuk masalah perut daripada seorang doktor.

Namun, dalam kenyataan bertulisnya, Cherono mengaku dia secara tidak sengaja diberi trimetazidine dalam bentuk tablet Carvidon oleh isterinya (bukannya ubat penahan sakit yang diminta bagi merawat sakit otot).

Cherono menyediakan dokumen membuktikan bahawa isterinya diberi preskripsi trimetazidine, tetapi siasatan mendedahkan 'beberapa percanggahan' sebelum Cherono mengaku bersalah.

Cherono sebelum ini memenangi maraton berprestij di Boston dan Chicago pada 2019. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!