Feri bawa 163 penumpang ke Langkawi terkandas lebih 5 jam

Feri yang membawa 163 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi, terkandas lebih lima jam di perairan Kuala Kedah pada petang Rabu. Foto Konsortium Ferry Line Ventures
Feri yang membawa 163 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi, terkandas lebih lima jam di perairan Kuala Kedah pada petang Rabu. Foto Konsortium Ferry Line Ventures
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah feri yang membawa 163 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi, terkandas lebih lima jam disebabkan kerosakan enjin di perairan Kuala Kedah dekat sini, petang Rabu.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 petang, di kedudukan sekitar 7.5 batu nautika dari Terminal Feri Kuala Kedah.

“Kejadian berpunca daripada kerosakan dua enjin feri itu yang terhenti secara mengejut selepas beberapa minit berlepas dari terminal di Kuala Kedah.

“Petugas feri dapat membaiki satu enjin dan feri dapat berfungsi semula, tapi selepas itu pengurusan berbincang dengan pelbagai pihak untuk tindakan seterusnya sama ada meneruskan perjalanan ke Langkawi atau berpatah balik ke Kuala Kedah,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, sekiranya feri berpatah balik ke Kuala Kedah, perjalanan semula ke Langkawi perlu ditangguhkan sementara menunggu air pasang kembali dan jangkaan tiba di Langkawi dengan feri gantian adalah pada jam 2.30 pagi.

Sehubungan itu, Baharin berkata, pihak pengurusan memutuskan untuk feri berkenaan meneruskan perjalanan ke Langkawi menggunakan satu enjin, dan selamat tiba di pulau peranginan itu pada jam 11.44 malam tadi.

Beliau berkata, sepanjang perjalanan feri itu diiringi bot penunda sebagai persediaan sekiranya berlaku kejadian yang tidak dijangka.

“Pihak konsortium amat menitikberatkan kebajikan penumpang, termasuk mengagihkan makanan yang dibawa bot penunda dari Kuala Kedah. Makanan diagihkan sekali lagi kepada penumpang sejurus tiba di Langkawi,” katanya.

Terdahulu klip video yang memaparkan penumpang turun dari sebuah feri dikongsikan oleh seorang individu di media sosial dengan tajuk ‘Dari 6.30...pukui 12 baru bleh sampai Langkawi...mcm p thailand ooo’. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!