[VIDEO] 'Kami tak lompat parti, tak langgar Perlembagaan Persekutuan'

A
A
A

SHAH ALAM - Enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan mereka tidak melompat parti dan melanggar apa-apa syarat yang disebut dalam Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Wakilnya, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berkata, Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai sekiranya mereka melepaskan keahlian dalam parti.

Ahli Parlimen Labuan itu menegaskan, mereka tidak pernah meninggalkan parti, malah dalam surat jelas menyatakan bahawa mereka tetap kekal, taat dan setia kepada parti.

"Kami hanya menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan demi mendapatkan peruntukan ahli Parlimen bagi maksud membantu rakyat di kawasan Parlimen kami.

"Kami menyanjung dan mendukung tujuan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan diwujudkan untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara daripada terus berhadapan dengan krisis politik yang tiada berkesudahan," katanya ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Khamis.

Suhaili (tengah) pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Khamis.
Suhaili (tengah) pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Khamis.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu dilaporkan mengesahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permohonan parti itu supaya enam kerusi ahli Parlimennya yang berpaling tadah dikosongkan.

Muhyiddin berkata, pihaknya akan melantik peguam bagi membolehkan tindakan perundangan diambil kerana peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Parlimen hendaklah dikosongkan jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Selain Suhaili lima lagi ahli Parlimen prokerajaan itu ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Suhaili menjelaskan, Perlembagaan Bersatu tidak terpakai kepada mereka kerana Perkara 49A(2)(c) Perlembagaan Persekutuan mengatakan seseorang ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli dewan hanya disebabkan oleh pemecatan daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

Kata Suhaili, mereka dipecat kerana Perlembagaan Bersatu dipinda setelah mereka menyatakan sokongan tersebut.

"Arahan-arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bertentangan dan menafikan hak kebebasan bercakap dan berbahas untuk kami di bawah Seksyen 3 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

"Hak kami untuk apa-apa jua dikatakan termasuk menyatakan sokongan atau mengundi di Dewan Rakyat.

"Ia adalah hak keistimewaan Parlimen di bawah Perkara 63(2) dan tidak boleh dicabar di mahkamah," ulasnya.

Susulan itu, Suhaili berkata, mereka mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen.

Tegasnya, sebarang percubaan untuk menafikan hak Perlembagaan mereka boleh dianggap sebagai suatu kesalahan dibawah 124 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!