Kapal kargo tiada sijil insurans ditahan
KLANG - Sebuah kapal kargo ditahan setelah dikesan tidak memiliki polisi insurans maritim yang ditetapkan dekat perairan Sungai Puloh, Kapar di sini pada Rabu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal kargo terbabit ditahan sekitar jam 11.30 malam oleh bot peronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan rutin OP Ehsan, dan OP Tiris 3.0 di perairan negeri ini.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati, kapal terbabit dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama empat kru.
"Kesemua mereka merupakan warga Indonesia berumur antara 28 hingga 50 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen kapal mendapati, nakhoda kapal berkenaan gagal mengemukakan sijil insurans yang sah.
"Berikutan itu kesemua individu terbabit ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengemukakan sijil insuran yang sah," katanya.
Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor.
"Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Selangor (013-6606652) / Pusat Operasi Maritim Malaysia (03-89957820) untuk maklum balas segera," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!