Pulau Pinang diiktiraf negeri bebas tunai

Kon Yeow menerima sijil pengiktirafan daripada PayNet.
Kon Yeow menerima sijil pengiktirafan daripada PayNet.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang menjadi negeri pertama diiktiraf sebagai negeri bebas tunai 2024 selepas mencapai kadar transaksi digital melebihi 95 peratus bermula Januari hingga Mei tahun ini.

Standard piawaian itu ditetapkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang berjaya menunjukkan konsistensi mencapai piawaian itu.

Menurutnya, amalan pembayaran tanpa tunai telah dilakukan di semua agensi kerajaan sejak dua tahun lalu.

"Inisiatif pembayaran tanpa tunai di Pulau Pinang bermula dengan pelaksanaan projek perintis pasar awam tanpa tunai di Pasar Awam Taman Tun Sardon pada bulan April tahun 2020 sebagai langkah untuk mengurangkan kontak atau sentuhan antara pembeli dan peniaga di lokasi tersebut.

"Ini adalah sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini pada ketika itu.

"Berikutan kejayaan projek perintis di Pasar Awam Taman Tun Sardon, Kerajaan Negeri telah menjemput 17 institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank untuk memigrasikan e-pembayaran di semua pasar awam di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Pulau Pinang 2024 di sini, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow berkata, berdasarkan maklum balas positif terhadap inisiatif tersebut, satu dasar mewajibkan penggunaan perkhidmatan e-pembayaran sebagai salah satu platform terimaan hasil bagi semua jabatan dan agensi kerajaan Negeri Pulau Pinang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri pada 2 September 2020.

Jelasnya, hasil daripada pelaksanaan dasar tersebut, keseluruhan 23 jabatan pemungut hasil di negeri Pulau Pinang telah menggunakan perkhidmatan sekurang-kurangnya satu perkhidmatan e-pembayaran sebagai salah satu medium kutipan hasil.

"Bermula dari 1 Januari 2024 hingga 31 Mei 2024 kesemua jabatan dan agensi pemungut hasil Kerajaan Negeri telah berjaya memungut sebanyak 5,490,371 bilangan transaksi iaitu 95.31 peratus daripada jumlah bilangan transaksi keseluruhan.

"Manakala nilai kutipan hasil yang diperoleh adalah sebanyak RM516 juta iaitu 65.07 peratus daripada keseluruhan nilai kutipan hasil," katanya.

Sehubungan itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menyasarkan 97 peratus pembayaran secara tanpa tunai akan dapat dicapai menjelang tahun 2030.

Tambahnya, bagi meneruskan agenda transformasi digital di negeri ini, Kempen Hari Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 akan turut memfokuskan dan membantu untuk mentransformasikan peniaga kecil dan Micro, Small & Medium Enterprises (MSME).

Beliau berkata, secara tidak langsung, pelaksanaan perkhidmatan e-pembayaran ini juga akan dapat meningkatkan hasil kutipan kerajaan negeri dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!