‘Oh!Ria Fest’ beri peluang orang ramai dekati sukan berkuda

Kelab Kuda Istimewa (UNIK) bersama pengurusan Oh!Ria Fest Management menganjurkan “Oh!Ria Fest” yang akan berlangsung di Taman Ekuestrian Putrajaya bermula 2 hingga 4 Ogos 2024 ini.
Kelab Kuda Istimewa (UNIK) bersama pengurusan Oh!Ria Fest Management menganjurkan “Oh!Ria Fest” yang akan berlangsung di Taman Ekuestrian Putrajaya bermula 2 hingga 4 Ogos 2024 ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sukan berkuda sering dikaitkan dengan sukan yang eksklusif dan hanya untuk golongan elit. Namun tanggapan itu tidak benar sama sekali, justeru bagi mendekatkan orang ramai dengan sukan tersebut Kelab Kuda Istimewa (UNIK) bersama Oh!Ria Fest Management menganjurkan ‘Oh!Ria Fest’ Taman Ekuestrian di sini bermula 2 hingga 4 Ogos 2024 ini.

Menurut Presiden UNIK, Zahari Senin, festival berkenaan julung kali diadakan dan memberi peluang kepada kelab tersebut mengutip dana bagi membantu menjalankan pelbagai aktiviti khususnya melibatkan anak-anak istimewa.

“Kami mempunyai keahlian ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme serta Orang Kelainan Upaya (OKU) dan antara kaedah rawatan selain elemen perubatan moden ialah melibatkan haiwan seperti kuda untuk tujuan terapi mental mahupun fizikal.

ZAHARI
ZAHARI



“Kelab kami baru ditubuhkan pada Oktober 2023 dengan objektif utama untuk menyediakan perkhidmatan terapi berkuda secara percuma, khususnya kepada golongan awam yang kurang berkemampuan.

“Kami amat berharap dengan penganjuran ‘Oh!Ria Fest’ ini dapat membolehkan kami membuat penjenamaan dan meningkatkan kesedaran orang ramai penubuhan dan fungsi UNIK,” jelas Zahari lagi yang juga merupakan seorang Jurulatih Tahap 2, Riding for Disable (RDA).

MOHAMMAD FAUZI
MOHAMMAD FAUZI



Mewakili pihak penganjur ‘Oh!Ria Fest’, Mohamad Fauzi Md Nor menegaskan sebanyak 80 pempamer dan vendor mengambil bahagian dalam festival tiga hari tersebut yang menyediakan khidmat jualan makanan dan bukan makanan.

Artikel Berkaitan:

“Antara aktiviti yang kami anjurkan ialah zumba, pound, pony-ride, sesi mengenali dan carrot time bersama kuda, demo lukisan abstrak, demo yoga dan persembahan selebriti tempatan.

“Kita juga menganjurkan pertandingan dressage dan show jumping kuda. Paling penting festival ini tidak mengenakan sebarang bayaran masuk, ia adalah percuma.

“Oh!Ria Festival beroperasi bermula jam dua petang hingga 10 malam pada 2 Ogos (Jumaat), manakala pada 3 dan 4 Ogos (Sabtu dan Ahad), kami beroperasi bermula pada jam lapan pagi hingga 10 malam,” jelasnya.

NOR AINON
NOR AINON



Sementara itu, menurut Timbalan Presiden UNIK, Datin Nor Ainon Wan Mohd Fadzil, UNIK dan Oh!Ria Fest Management berhasrat untuk menganjurkan acara sukan berkuda berskala nasional pada masa akan datang.

“Kami melihat sukan berkuda atau ekuestrian berpotensi untuk dimajukan dan menjadi sebahagian sukan popular di Malaysia. Acara sukan berkuda berskala nasional sesuai diadakan di Malaysia kerana negara kita mempunyai banyak fasiliti sukan berkuda.

“Ia dapat memberi banyak pendedahan kepada orang awam dan mereka yang terlibat dalam industri sukan berkuda di Malaysia. Melalui acara ini, kami berharap dapat menarik minat lebih ramai individu terhadap sukan berkuda dan memperkenalkan keunikan sukan ini kepada masyarakat,” jelas beliau yang juga merupakan Jurulatih Tahap 3 Riding for Disable (RDA).

UNIK juga sedang merancang untuk menjalankan aktiviti bagi mencungkil bakat atlet Paralimpik dalam sukan berkuda. Dengan bimbingan dan latihan yang betul, kami berharap dapat melahirkan atlet berkuda yang mampu bersaing di pentas antarabangsa agar dapat mengharumkan nama negara.

Untuk rekod, UNIK juga menawarkan pengajaran dan perkongsian mengenai sukan berkuda secara percuma kepada orang awam yang berminat. Ini termasuk pengetahuan asas seperti cara mengendalikan kuda, teknik menunggang yang betul, dan penjagaan kuda. Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan pemahaman dan keterampilan dalam sukan berkuda dalam kalangan masyarakat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!