Lebih 2,000 individu alami gangguan mental di Selangor

Lebih 2,000 individu tampil untuk mendapatkan rawatan berkenaan gangguan mental di klinik kesihatan di negeri Selangor sejak empat tahun lalu. (Gambar kecil: Jamaliah Jamaluddin.)
Lebih 2,000 individu tampil untuk mendapatkan rawatan berkenaan gangguan mental di klinik kesihatan di negeri Selangor sejak empat tahun lalu. (Gambar kecil: Jamaliah Jamaluddin.)
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 2,000 hingga 3,000 individu tampil untuk mendapatkan rawatan berkenaan gangguan mental di klinik kesihatan di negeri Selangor sejak empat tahun lalu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, bilangan kes mental adalah stabil dan jumlah yang meneruskan rawatan di klinik kesihatan dalam tempoh itu adalah lebih kurang sama.

Beliau berkata, Klinik Kesihatan Klang merawat pesakit tertinggi iaitu lebih 500 kes setahun, diikuti oleh Klinik Kesihatan Petaling dengan lebih 400 pesakit dan di Sepang pula merekodkan lebih 300 pesakit.

"Faktor penyebab gangguan kesihatan mental adalah faktor dalaman iaitu faktor genetik dan personaliti, faktor tekanan hidup dan stigma terhadap kesihatan mental.

"Individu ini perlu sentiasa dikelilingi sokongan sosial bagi membantu menguruskan cabaran hidup.

"Faktor gaya hidup juga memainkan peranan termasuk gejala penyalahgunaan dadah dan kurang aktiviti fizikal," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Khamis.

Jamaliah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama berkata demikian menjawab pertanyaan Sallehen Mukhyi (PN -Sabak) mengenai kes gangguan mental mengikut daerah dari tahun 2020 hingga kini serta strategi kerajaan menangani masalah ini.

Dalam pada itu, Jamaliah berkata, kerajaan negeri Selangor melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) juga merancang tujuh strategi bagi mengatasi permasalahan tersebut termasuk kerjasama merentas agensi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!