Kes bunuh pemandu e-hailing dipindah ke Mahkamah Tinggi Tawau

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Mahkamah Majistret di sini pada Khamis memerintahkan kes bunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu yang membabitkan bekas isteri mangsa dan adik tiri lelaki wanita itu pada tahun lepas di sebuah ladang kelapa sawit dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakrurrazi Ahmad Salim mengikut Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, tarikh sebutan di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan.

Pada 24 April lepas, Nurima Juli, 35, dan Sadam Kiram, 30, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Nurman, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas dekat sini antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam 13 Januari 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.

Sebelum ini, bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command, Datuk Mat Zaki Md Zain adalah antara lapan tertuduh yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi atas kematian Nurman namun mereka dibebaskan pada 25 Januari selepas pendakwaan memaklumkan tidak berhasrat untuk meneruskan kes itu.

Ini selepas Nurima selaku saksi utama pendakwaan pada hari sama telah mengaku membunuh Nurman menggunakan sebilah gunting di dalam kereta Myvi putih yang dinaiki mereka ketika berhenti di lokasi kejadian pada 13 Januari 2023.

Sadam turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 24 Ogos 2023 atas dakwaan melupuskan barang bukti namun pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan itu digugurkan hari ini atas permohonan pihak pendakwaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!