Diupah RM700 lempar 'molotov cocktail' ke rumah peminjam along

Kumar (dua, kanan), pada sidang akhbar berkenaan.
Kumar (dua, kanan), pada sidang akhbar berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Enam lelaki yang disyaki melakukan khianat termasuk melempar 'molotov cocktail' di kediaman peminjam wang sindiket tanpa lesen ditahan polis dalam beberapa siri serbuan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, kesemua lelaki berusia 36 hingga 51 tahun itu dipercayai ditawarkan RM400 bagi perbuatan menyimbah cat dan RM700 bagi perbuatan khianat dengan api oleh sindiket along berkenaan.

Menurutnya suspek menyimbah cat dan melakukan khianat dengan menggunakan api ke kediaman mangsa yang gagal membuat pembayaran pinjaman dengan tujuan menakut-nakutkan peminjam dan ahli keluarga mereka.

"Dengan penangkapan enam ahli sindiket along ini, polis Johor berjaya menyelesaikan 24 kes yang turut melibatkan polis kontinjen Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Perak yang didapati turut melakukan modus operandi sama," katanya.

Tambah Kumar, hasil serbuan tersebut pihaknya turut merampas beberapa barangan termasuk tiga kereta, enam telefon bimbit pelbagai jenis, tiga helai nota ugutan, dua tin cat dan sebotol 'thinner'.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan sindiket along itu bergiat aktif melakukan jenayah di beberapa negeri seperti di Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur sejak April lalu.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati lima daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

Kumar berkata, semua suspek tidak bekerja dan lima daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua suspek direman sehingga 14 Julai dan kes disiasat bawah Seksyen 435 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan selain Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, bagi tempoh Januari sehingga Mei lalu, sebanyak 1,267 kes dilaporkan dan seramai 347 individu ditangkap

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!