565 individu ditahan sejak SOSMA dikuat kuasa

Seramai 565 individu ditahan sejak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) digunakan sebagai undang-undang prosedur menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang dimansuhkan pada tahun 2013.Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad Zahid )
Seramai 565 individu ditahan sejak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) digunakan sebagai undang-undang prosedur menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang dimansuhkan pada tahun 2013.Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad Zahid )
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 565 individu ditahan sejak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) digunakan sebagai undang-undang prosedur menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang dimansuhkan pada tahun 2013.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 368 individu merupakan warga tempatan.

“Seramai 559 individu ditangkap antara tahun 2013 hingga 2020 dan selebihnya pasca Covid-19. Daripada statistik itu jelas menunjukkan penurunan intensiti aktiviti keganasan di negara ini kesan daripada pandemik.

“Pencegahan awal progresif dan bersasar dapat mengurangkan kes tangkapan dan memberi peluang kepada individu terlibat untuk dineutralkan sebelum terjebak selain memberi peluang memulakan kehidupan baru yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Kawalan Keganasan bertujuan membincangkan isu berhubung ancaman keganasan di Malaysia dan mengenal pasti strategi bagi menangani keganasan di negara ini secara komprehensif.

Tambah beliau, keanggotaan mesyuarat terdiri daripada menteri dan pegawai kanan kementerian serta agensi yang terlibat.

“Saya memulakan mesyuarat dengan menyatakan bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian serius mengenai trend dan perkembangan semasa isu serta ancaman keganasan di Malaysia juga luar negara yang memberi implikasi langsung ke atas keselamatan negara.

“Keganasan bukan isu utama keselamatan negara pada masa kini. Berdasarkan indeks keselamatan global, perkembangan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan dan virus ditaksir berpotensi dieksploitasi elemen-elemen keganasan, 'lonewolf' atau 'pack',” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut memantau situasi terkini berkaitan risiko ancaman keganasan oleh kumpulan pengganas seperti Daesh, Jemaah Islamiyah dan lain-lain.

Menurutnya, pentadbiran kini bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara-negara jiran untuk membendung hal berkenaan.

Jelasnya, ia juga bertujuan untuk mengenal pasti individu disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan sama ada melibatkan warganegara Malaysia atau warga negara asing.

“Tindakan yang dilaksanakan bagi menangani ancaman dan penyebaran fahaman berkaitan keganasan adalah dengan menyalurkan maklumat serta hebahan berkait ancaman keamanan negara melalui strategi komunikasi.

“Pelaksanaan program-program kesedaran turut dilaksanakan berdasarkan tiga teras iaitu patriotisme, keagamaan dan langkah pencegahan melalui siaran program di televisyen, penerbitan, siaran radio, media sosial dan ceramah kesedaran,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!