Speaker langgar undang-undang - Pas

Ahmad Fadhli (Laporan Sinar Harian)
Ahmad Fadhli (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mengosongkan enam kerusi ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap melanggar undang-undang.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia kerana apabila sudah menjadi satu undang-undang semua pihak perlu patuh kepada ketetapan itu.

"Sekarang undang-undangnya adalah sesiapa yang terhenti keahlian (bukan dipecat) daripada parti, maka keanggotaannya sebagai ahli Dewan Rakyat akan tergugur kerana sebab-sebab yang telah dinyatakan seperti mengalihkan sokongan dan sebagainya.

"Bersatu telah mengubah perlembagaannya, walaupun selepas enam ahli Parlimen mengisytiharkan lompat, surat dan notis telah dihantar kepada mereka namun sebahagian tidak membalas sekali gus kegagalan tersebut bererti mereka isytihar sokongan kepada Anwar.

"Itu menyebabkan keahlian mereka terhenti selepas pindaan perlembagaan parti dibuat. Jelas sekali kerusi mereka sepatutnya gugur, tetapi Speaker memilih untuk melanggar perlembagaan dan undang-undang sendiri. Apa hendak dibuat mungkin makan ubi kayu terlampau banyak," katanya menerusi sebuah video di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Anwar mendakwa Johari bertindak berdasarkan Perlembagaan dan taksiran undang-undang, semasa memutuskan enam ahli Parlimen bekas ahli Bersatu kekal sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata, Johari juga membaca dan membuat tafsiran undang-undang yang berkaitan secara keseluruhannya dan perkara itu seharusnya diketahui dengan jelas oleh pimpinan parti Bersatu.

Kata Perdana Menteri, ini kerana parti Bersatu telah menentang supaya keahlian sesiapa (ahli Parlimen) yang dipecat daripada parti gugur secara automatik semasa perbincangan mengenai undang-undang itu dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahmad Fadhli, tindakan sedemikian dilihat percubaan untuk melarikan isu.

"Kita tidak bincang soal siapa tentang dan sokong, itu semasa perbincangan untuk membuat Akta Anti Lompat Parti [Akta A1663]. Apabila sudah jadi undang-undang, semuanya perlu patuh," katanya.

Terdahulu Johari menggunakan kuasa budi bicara dalam membuat keputusan mengekalkan kedudukan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah menyokong Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

Enam ahli Parlimen itu adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!