Literasi digital, kesedaran pengguna penting tangani buli siber
SHAH ALAM - Literasi digital dan kesedaran dalam kalangan pengguna amat penting untuk dilaksanakan menerusi kempen pengurusan tingkah laku dalam talian, akibat buli siber serta kepentingan empati atau hormat-menghormati.
Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Rafiq Razali berkata, menerusi kerjasama itu, strategi menyeluruh dapat menangani punca jenayah buli siber di samping menyediakan sokongan kepada mangsa serta persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
Menurutnya, statistik terbaharu daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan trend membimbangkan apabila terdapat 51,638 kes kandungan berbahaya yang tersebar di media sosial serta platform digital dalam tiga bulan pertama tahun ini.
"Kami menekankan pentingnya memupuk tanggungjawab dan rasa hormat ketika berinteraksi dalam talian.
"Insiden tragis baru-baru ini menunjukkan bahawa terdapat keperluan segera untuk menangani isu buli siber sehingga memberi akibat buruk di dunia nyata, termasuk masalah kesihatan mental, pengasingan sosial dan juga kehilangan nyawa.
"Sebagai tindak balas kepada peningkatan insiden gangguan dan penyalahgunaan dalam talian, CMCF menyeru usaha bersama untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau mengulas insiden seorang pempengaruh TikTok, Rajeswary Appahu atau Esha yang membunuh diri dipercayai tertekan akibat dibuli di media sosial.
Mayat pempengaruh wanita berumur 29 itu ditemui di rumahnya kira-kira jam 11 pagi pada 5 Julai lepas.
Dalam pada itu, Rafiq turut memaklumkan, masyarakat perlu menerima hakikat bahawa buli siber bukan hanya isu dalam talian, tetapi ia juga memberikan kesan buruk kepada individu dan komuniti.
Tambah beliau, keperluan mendesak untuk melaksanakan pendekatan yang berperikemanusiaan dan saling menghormati dalam interaksi digital kini semakin jelas.
Jelasnya, laporan atau perkongsian berita bunuh diri penuh tanggungjawab dan empati penting untuk menghormati ahli keluarga yang sedang berduka cita.
"Masyarakat mempunyai tanggungjawab kolektif untuk memastikan perbincangan tentang kejadian bunuh diri lebih menjurus kepada kesedaran mengenai kepentingan pencegahan, dan bukannya menuding jari atau menyalahkan mangsa.
"Sehubungan itu, CMCF akan terus berdedikasi untuk mempromosikan konsep kawalan kendiri dan penciptaan kandungan yang bertanggungjawab bagi memupuk budaya hormat serta empati terhadap pengguna dalam talian.
"Kami menyokong penuh usaha menangani kes buli siber dan melindungi individu daripada bahaya dalam talian. Usaha bukan sahaja melibatkan kerajaan, tetapi organisasi belia, pakar kesihatan mental, kumpulan masyarakat sivil, ibu bapa, agensi penguatkuasaan serta syarikat teknologi," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!