Pendaki wanita warga Singapura cedera tergelincir di Gunung Kinabalu
RANAU - Seorang pendaki warga Singapura cedera selepas tergelincir ketika turun dari puncak Gunung Kinabalu dalam kejadian di Kilometer 8.3 Summit Trail, Kundasang pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, wanita berusia 42 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri sebelum dibawa turun ke Pondok Timpohon.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.55 pagi.
Menurutnya, seramai enam anggota MOSAR dikejar ke lokasi yang terletak dua kilometer dari pusat mereka.
"Menurut panggilan itu, terdapat seorang pendaki warga Singapura telah tergelincir dan terjatuh di Kilometer 8.3 Summit Trail dan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian atas buku lali sebelah kiri.
"MOSAR dibantu oleh pasukan mencari dan menyelamat Taman Kinabalu bertindak memberikan bantuan dan rawatan awal kepada mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, usaha membawa mangsa turun ke Pondok Timpohon dan seterusnya bagi mendapatkan rawatan lanjut turut dilakukan.
"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!