Ibarat mimpi jadi kenyataan - Rouxin
PERENANG wanita negara, Tan Rouxin mengakui masih tertanya-tanya bahawa dirinya yang masih muda berusia 18 tahun akan beraksi di pentas besar Sukan Olimpik 2024 di Paris, biarpun layak menerusi tiket wild card.
"Saya masih tidak percaya dapat pergi ke Olimpik dan berasa kurang yakin. Namun jurulatih beritahu, saya juga mempunyai kelebihan tersendiri.
"Ia satu pengalaman indah buat saya dapat pergi Paris. Saya bangga dapat wakil Malaysia dan berjanji memberikan yang terbaik," katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil pada Khamis.
Beliau yang beraksi dalam acara 100 meter kuak dada juga menyifatkan peluang beraksi pada temasya terbesar dunia tersebut sebagai mimpi menjadi kenyataan yang tidak pernah terbayang dalam fikirannya.
"Saya tidak terfikir akan melayakkan diri, sehinggalah saya mendapat slot ini dan sangat terkejut," katanya.
Rouxin juga sering mengingatkan diri sendiri untuk kekal yakin dan berani mencabar perenang dunia lain di Paris nanti.
"Saya mahu membaiki catatan peribadi terbaik di Paris. Catatan 1 minit 11.2 saat (s) yang dibuat dua tahun lalu, manakala catatan terbaik musim ini pula ialah 1:11.5s dilakukan pada Mac atau April lalu," katanya.
Menyentuh mengenai tekanan kali pertama beraksi di Olimpik, beliau mempunyai pendekatan tersendiri untuk menanganinya dengan baik.
"Saya akan mendengar muzik, tidur awal dan buat senaman yoga untuk menghilang tekanan. Saya juga sering berbisik kepada diri sendiri, sentiasa yakin dan berikan yang terbaik ketika latihan," ujar Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur 2022 itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!