Kerajaan digesa terus buat kutipan levi

Kerajaan digesa untuk terus membuat kutipan levi daripada majikan walaupun HRD Corp kini disiasat ekoran berlaku salah urus dana seperti yang didedahkan LKAN dan PAC. (Gambar kecil:Thian Lai)
Kerajaan digesa untuk terus membuat kutipan levi daripada majikan walaupun HRD Corp kini disiasat ekoran berlaku salah urus dana seperti yang didedahkan LKAN dan PAC. (Gambar kecil:Thian Lai)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk terus membuat kutipan levi daripada majikan walaupun Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) kini disiasat ekoran berlaku salah urus dana seperti yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, ia demi pelaksanaan latihan kepada pekerja yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan kerjaya individu tetapi memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi, inovasi dan daya saing di Malaysia.

"Menghentikan caruman akan beri implikasi besar kerana ia boleh mengganggu program latihan yang sedang berjalan dan dirancang.

"Ia juga beri kesan buruk kepada pekerja dan majikan yang bergantung kepada dana ini untuk pembangunan kemahiran terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Latihan penting untuk pembangunan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

PAC pada 4 Julai lalu mendedahkan sebanyak RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan telah digunakan HRD Corp untuk melabur sedangkan ia bukanlah sebuah institusi pelaburan.

Perkara sama turut didedahkan LKAN yang mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Mengulas lanjut, Thian Lai menegaskan, ketika Malaysia bergerak ke arah industri dan perkhidmatan dengan nilai tambah yang lebih tinggi, terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk kemahiran khusus serta tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menyokong aspirasi negara.

Menurutnya, industri semakin menerima pakai teknologi baharu dan alatan digital sekali gus memerlukan satu latihan berterusan kepada pekerja.

Artikel Berkaitan:

"Latihan akan dapat membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Ia akan meningkatkan keupayaan mereka untuk menggunakan teknologi dengan berkesan dan kekal berdaya saing dalam pasaran global.

"Namun, pada masa sama kami akui bahawa Menteri Sumber Manusia sejak dilantik pada Disember 2023, telah pun memastikan bahawa HRD Corp mula mengambil langkah ke arah merombak pengurusan kewangannya termasuk pengasingan akaun bagi memastikan levi yang dikutip daripada majikan digunakan semata-mata untuk latihan dan bukan untuk tujuan lain," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!