Akta Anti Lompat Parti hanya akta 'mandul' - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Akta Anti Lompat Parti hanya akta yang mandul.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang mendakwa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak akan berani mengosongkan enam kerusi ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Speaker Dewan Rakyat tak akan berani mengosongkan kerusi-kerusi tadi. Kalau dia buat, maknanya dia lawan tauke, iaitu Anwar Ibrahim yang melantiknya ke jawatan itu.

“Disebabkan Johari enggan guna kuasa Speaker untuk buang 'katak-katak', maka Akta Anti Lompat Parti dah tak guna,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu menerima surat daripada Johari yang menyatakan tidak berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk enam kerusi Parlimen bekas ahli Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar.

Enam Ahli Parlimen yang terkait dengan isu terlibat adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Pada 20 Jun lalu, Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen berkenaan telah diserah dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Wan Ahmad Fayhsal juga secara sinis menggesa agar Speaker dan ahli Parlimen kerajaan mengubah nama Akta Anti Lompat Parti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang itu berkata, dalam kes terdahulu melibatkan empat ahli Parlimen Bersatu Sabah yang melompat ke Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengambil pendirian keputusan speaker tidak boleh dipertikaikan, memetik Artikel 63(1) di bawah tajuk 'Keistimewaan Parlimen'.

“Pendek kata yang menentukan Akta Anti Lompat Parti berfungsi atau tidak bergantung kepada Speaker. Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Bersatu dalam kes GRS pada 30 Oktober.

“Bagaimanapun ada kemungkinan lain. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri yang terlucut perwakilannya tadi mahu lawan di mahkamah.

"Kalau dia menang, maknanya kuasa mahkamah boleh atasi Speaker Dewan Rakyat,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!