Selepas 9 tahun, Joe Flizzow dan Rossa kembali 'bersatu'

Rossa, Joe Flizzow
Rossa, Joe Flizzow
A
A
A

PENYANYI rap terkenal yang juga penerbit muzik, Joe Flizzow tidak akan melepaskan peluang untuk kembali berduet dengan penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa pada Konsert Divas & Diamonds.

Konsert itu bakal diadakan di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru pada 7 September depan.

Menurut Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, dia dan Rossa mempunyai dua lagu duet berjudul Katakan dan One Night Lover.

Kali terakhir mereka berduet kira-kira sembilan tahun lepas ketika Konsert Pesona Cinta Rossa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada tahun 2015.

“Kedua-dua lagu duet pula adalah ciptaan saya dan saya bertuah dapat berkolaborasi dengan Rossa kerana untuk melihat artis Indonesia yang menyanyikan lagu ciptaan dari luar terutama Malaysia agak susah.

“Jadi, untuk konsert kali ini, saya rancang untuk berduet dengan Rossa dan akan berbincang lanjut mengenai perkara ini.

"Walaupun sudah lama tidak melakukan persembahan bersama, tapi kami tetap berhubung,” kata Joe ketika sidang akhbar konsert berkenaan pada Selasa.

Joe diumumkan pihak penganjur Mega Eve Sdn Bhd sebagai penyanyi keempat yang akan tampil membuat persembahan pada Konsert Divas & Diamonds selepas Rossa dan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah serta Dayang Nurfaizah.

Artikel Berkaitan:

Joe Flizzow bersama Jamal Abdillah.
Joe Flizzow bersama Jamal Abdillah.

Pada konsert yang bakal berlangsung selama dua jam itu, Joe dan Rossa masing-masing akan diiringi oleh band mereka sendiri manakala Jamal dan Dayang pula akan diiringi komposer terulung, Genervie Kam.

Sementara itu, pengarah projek konsert tersebut, Aman Ali berkata, pemilihan barisan artis berdasarkan mereka yang mempunyai bakat yang luar biasa, sangat dihormati dan telah menerima pelbagai anugerah dalam industri muzik.

“Konsert ini akan menampilkan lagu-lagu kegemaran sepanjang masa hingga single hit terkini, oleh kesemua barisan artis nanti.

"Kami yakin persembahan live itu akan menjanjikan pengalaman yang menakjubkan dengan pentas, lampu dan bunyi yang inovatif,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket Konsert Divas & Diamonds 2024 di Ticket2u, www.ticket2u.com.my dan lima peratus daripada hasil jualan tiket akan disalurkan bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!