'Semua bergantung kepada cara pemain atasi tekanan'
PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mampu memperagakan aksi terbaik pada Sukan Olimpik 2024 di Paris hujung bulan ini.
Malah beliau berkata, jika mereka diletakkan dalam kumpulan bersama pasangan utama atau ranking lebih tinggi dan berupaya mengatasi lawan di peringkat tersebut, situasi itu mampu meningkatkan tahap keyakinan untuk lebih menyerlah dalam saingan kalah mati.
Beliau turut melihat peluang lebih terbuka untuk mana-mana pemain atau pasangan merangkul pingat di Sukan Olimpik kali ini berbanding ketika sukan badminton mula dipertandingkan pada edisi 1992 di Barcelona.
"Sejak London 2012 dan edisi seterusnya, tekanan adalah tidak sama seperti di Olimpik 1992 kerana dahulu sudah tahu siapa calon kuat yang akan menjadi juara.
"Namun kali ini semuanya hampir sama bukan sahaja China, Jepun, Korea Selatan atau Malaysia, malah pemain perseorangan lelaki dari Guatemala, Kevin Gordon mampu mara ke separuh akhir di Tokyo 2020.
"Jadi semuanya bergantung kepada bagaimana pemain itu menangani tekanan di gelanggang ketika hari pertandingan," katanya pada sidang media di Bukit Kiara pada Rabu.
Jurulatih dari Indonesia itu juga telah merencana pelbagai situasi, termasuk strategi mencuri mata dan arah pukulan servis dalam sesi latihan bagi membantu Pearly-Thinaah berdepan pasangan handal dunia lain di Paris.
"Latihan seperti ini penting agar mereka tidak berasa gugup dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika di gelanggang termasuk detik penting untuk mengutip mata kemenangan," katanya yang memenangi pingat emas beregu lelaki bersama Ricky Subagja pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!