Baki 712 pelajar cemerlang SPM ditawar program matrikulasi berperingkat

Fadhlina Sidek pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Jumaat. Foto Bernama
Fadhlina Sidek pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Baki 712 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang belum mendapat tawaran ke program matrikulasi akan ditawarkan selewat-lewatnya minggu ketiga bulan depan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan kesemua pelajar SPM berkenaan yang memperoleh 10A dan ke atas akan mendapat tawaran tersebut secara berperingkat.

"Kenapa minggu ketiga Ogos?...kerana ada tawaran UPU pada 6 Ogos in, jadi kita bagi pilihan kepada mereka sama ada mereka nak pilih UPU atau matrikulasi," katanya pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai isu pelajar cemerlang lepasan SPM yang gagal mendapat tempat di program matrikulasi.

Fadhlina berkata, jumlah pelajar cemerlang yang memperoleh 10A ke atas dan memohon bagi program matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) adalah seramai 4,877 iaitu 2,610 pelajar Bumiputera dan 2,267 bukan Bumiputera.

Beliau berkata, bagi ambilan pertama kemasukan ke program tersebut, 3,684 orang ditawarkan mencakupi 2,496 pelajar Bumiputera dan 1,188 pelajar bukan Bumiputera.

Katanya, seramai 400 pelajar cemerlang iaitu 33 Bumiputera dan 367 bukan Bumiputera ditawarkan untuk ambilan kedua yang mula mendaftar pada hari ini dan esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Jun lepas mengumumkan jaminan kemasukan ke program matrikulasi bagi pelajar cemerlang SPM yang memperoleh 10A ke atas tanpa mengira kaum dan latar belakang serta memberi jaminan kuota Bumiputera tidak terjejas dengan pengambilan itu.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!