Tiada kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang - Speaker
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San pada Khamis mengumumkan tiada kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari.
Menurutnya, pemberhentian keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didapati sebagai satu pemecatan terancang di bawah operasi Perkara LXVA 2(c) Perlembagaan Negeri Selangor.
"Notis dan bukti dari Yang Berhormat Hulu Kelang (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan untuk membuktikan yang sebaliknya.
"Dengan ini, saya mengisytiharkan bahawa kerusi DUN Selat Klang tidak dikosongkan," katanya pada persidangan DUN Selangor di sini pada Khamis.
Tambah beliau, terdapat satu ungkapan 'rule of equity' dalam perkara berkenaan yang berbunyi 'those who seek equity must come with clean hand and do equity'.
"Intihanya, selamat untuk disimpulkan atas skala pertimbangan kebarangkalian atau 'balance of probability', bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka," katanya.
Jelas Weng San, berdasarkan semakannya termasuk dalam Fasal 10 dan Fasal 22 Perlembagaan Bersatu menimbulkan dapatan tiada bukti dokumen yang membuktikan Perlembagaan parti tersebut berkuat kuasa secara retrospektif iaitu sebelum 1 April 2024.
"Tindakan Abdul Rashid yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada Mei lalu bukanlah satu maklumat pertama.
"Situasi ini adalah peristiwa yang berasal daripada kedudukannya pada 6 Mac lalu dan berlaku sebelum pindaan Perlembagaan Bersatu berkuat kuasa oleh Pendaftar Pertubuhan bertarikh 1 April lalu," katanya.
Terdahulu, Speaker DUN Selangor mempunyai tempoh 21 hari untuk membuat keputusan selepas menerima notis bertulis daripada mana-mana ADUN mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ADUN.
Media sebelum ini melaporkan Abdul Rashid diberhentikan keahlian daripada Bersatu selepas menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar.
Berikutan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 21 Jun lalu menyerahkan notis kepada Weng San mengenai tindakan Bersatu memberhentikan keahlian Abdul Rashid dan meminta kerusi DUN berkenaan dikosongkan.
Pada Rabu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengesahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam ahli Parlimennya yang berpaling tadah dikosongkan.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memaklumkan perkara itu menerusi sidang akhbar khas di Parlimen berkata, keputusan tersebut diterima Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran pada petang Selasa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!