'Jangan kerana maruah politik, GST tidak diperkenalkan semula' - Lawrence

Lawrence
Lawrence
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji semula pengembalian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menambah baik sistem berkenaan bagi meraih pendapatan negara serta memelihara kebajikan rakyat.

Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak memperkenalkannya semula semata-mata mahu mementingkan maruah politik.

Menurutnya, rakyat tidak sepatutnya terseksa akibat kenaikan harga barang selepas kadar cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) dinaikkan kepada lapan peratus, harga diesel naik mendadak RM1.20 serta kerajaan yang mahu memperkenalkan cukai baharu.

"Sekali lagi, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengakui secara tidak langsung bahawa GST merupakan sistem percukaian yang lebih baik.

"Kecewanya kerajaan masih tidak melaksanakan semula GST walaupun ini dicadangkan beberapa pakar ekonomi dan ahli politik demi kebajikan rakyat serta kebaikan negara.

"Antara alasan yang pernah diberi adalah skop SST lebih kecil, tetapi mengapa pula kerajaan menaikkan kadar SST dari enam peratus kepada 8 peratus? Mengapa pula perkenalkan cukai baharu, malah menarik semula subsidi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Sinar Harian mengenai beberapa penganalisis yang bersetuju bahawa GST dilihat lebih sesuai dilaksanakan di negara ini berbanding SST.

Lawrence memaklumkan, skop GST lebih luas dan adil serta merangkumi golongan pekerja asing atau pelancong yang secara langsung mengurangkan ketirisan di bawah SST.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Kementerian Kewangan (MoF) pernah mengatakan bahawa skop GST merangkumi 76 peratus keseluruhan barang dan perkhidmatan dijual dalam pasaran berbanding 41 peratus di bawah SST.

"Penambahan kutipan cukai ini mampu memanfaatkan rakyat dengan meluaskan skop subsidi bersasar sedia ada, khususnya pada masa kerajaan menarik balik subsidi diesel dan petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini.

"Malah, pada 2018, mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengakui di Parlimen bahawa GST lebih telus.

"Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan (Tinjauan Fiskal 2024) oleh MoF menyenaraikan kebaikan GST, dan hari ini di Parlimen, menteri kewangan telah menyatakan bahawa hasil kutipan cukai berkurangan selepas SST menggantikan GST," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!