Kematian akibat strok berdarah semakin meningkat
Ketua Jabatan Pembedahan Otak dan Saraf Institut Kaji Saraf Tunku Abdul Rahman Hospital Kuala Lumpur, Dr Azmi Alias berkata, berdasarkan statistik Peri-Operative Mortality Review (POMR) Kebangsaan, strok berdarah merekodkan punca utama kematian tertinggi melepasi kematian akibat kecederaan otak sejak 2019 serta terus menunjukkan peningkatan jumlah kes.
Beliau berkata, secara asas penyakit strok terbahagi kepada dua iaitu ischemic stroke (darah tidak sampai ke otak) dan haemorrhagic stroke (pendarahan spontan di dalam otak).
"Ischemic stroke lebih kerap berlaku, contoh apabila muka senget sebab darah tidak sampai, namun kadangkala pesakit boleh pulih seperti biasa jika bekalan darah ke otak kembali dalam waktu yang singkat.
"Sebaliknya, haemorrhagic stroke lebih berbahaya kerana ia boleh berlaku secara tiba-tiba menyebabkan kenaikan tekanan di dalam otak secara lebih drastik dan menyebabkan seseorang itu tidak sedar atau membawa kepada kematian,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran Kempen Kesedaran Masyarakat Mengenai Haemorrhagic Stroke Brain Race Fun Run 5KM di sini pada Khamis.
Turut hadir Ketua Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Harikrishna K Ragavan Nair.
Mengulas lanjut, Dr Azmi berkata, strok menyebabkan sel otak yang sensitif mati hanya dalam tempoh beberapa minit dan sel otak yang normal hanya boleh bertahan dalam lingkungan lima hingga 10 minit tanpa mendapat bekalan darah, nutrien dan oksigen yang mencukupi.
"Sebanyak 30 hingga 35 peratus kematian daripada 1,000 kes yang dilaporkan di hospital negara maju ialah berpunca akibat strok,” katanya.
Dr Azmi berkata hipertensi atau tekanan darah tinggi yang tidak terkawal dan aneurysm (salur darah otak pecah) adalah antara punca utama berlakunya strok berdarah.
"Ada faktor yang kita boleh ubah dan kawal untuk mengurangkan risiko strok seperti tidak merokok, tidak mengambil alkohol, mengamalkan pemakanan sihat dan sebagainya.
"Strok boleh dikawal dan dicegah mengikut kadar tertentu tapi sekiranya terkena strok dapatkan rawatan segera, kenal pasti simpton awal dan doktor akan tentukan sama ada pesakit memerlukan intervensi awal,” katanya sambil menambah 70 peratus pesakit yang menjalani rawatan berjaya melalui pemulihan dengan baik. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!