Istana Negara adakan majlis doa selamat sempena istiadat pertabalan Agong
KUALA LUMPUR - Istana Negara dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor pada Khamis mengadakan majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bakal berlangsung pada 20 Julai ini.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim pada Khamis memaklumkan majlis yang diadakan di Surau Utama Istana Negara di sini dimulai dengan solat Maghrib berjemaah.
Antara yang hadir Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot.
Hadir sama, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim; Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini; Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh; pegawai dan petugas Istana Negara serta ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri Johor.
Acara-acara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan bermula pada 18 Julai ini dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara.
Ia diikuti Khutbah Jumaat khas yang memberikan penjelasan serta peringatan kepada umat Islam mengenai kepentingan Institusi Raja Berperlembagaan pada 19 Julai.
Masjid di Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri yang tiada Raja atau Sultan akan menggunakan teks khutbah berkenaan manakala negeri lain tertakluk pada perkenan Raja atau Sultan masing-masing.
Pada malam 20 Julai akan berlangsung Majlis Santapan Diraja di Istana Negara.
Sementara itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai, manakala Pameran Raja Kita di Muzium Negara akan diadakan pada 25 Julai sebelum acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 diakhiri dengan Jamuan Teh Diraja di Istana Negara pada 27 Julai.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!