Skil 'Adik terbang' tebar roti canai memukau
MANJUNG - Baru berusia 10 tahun, namun kemahiran menebar dan 'menerbangkan' roti canai membuatkan sesiapa melihatnya terpukau.
Menerusi rakaman yang tular di TikTok, kelihatan si cilik siap mengenakan tanjak begitu asyik menerbangkan roti canai di warung milik bapanya disaksikan pelanggan yang menikmati sarapan.
Malah ada segelintir daripada mereka merakam gelagat ibarat bintang kecil yang sedang membuat persembahan.
Menurut Noor Diana Ismail, 40, anak bongsunya mula menunjukkan minat menebar roti canai sejak dua tahun lalu apabila dia sering menemani bapanya di warung.
"Adli Nur Iman Ahmad pada mulanya suka main doh roti canai. Dia suka memerhati suami saya menebar. Ayahnya boleh tebar sahaja tapi tidak membuat roti canai terbang.
"Seorang pekerja di warung itu ada skil buat roti canai terbang. Apabila dia melihat skil itu, terus dia jatuh minat.
"Hampir dua bulan juga Adli belajar dan menguasai skil berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ujar Noor Diana, anak lelaki tunggalnya itu beraksi di warung suaminya di Manjung, Perak pada setiap hujung minggu atau pada cuti sekolah sahaja.
Tambahnya, dialah penghibur roti canai terbang buat pelanggan. Bagaimanapun, kadang kala Adli tidak ke warung sekiranya mempunyai latihan bola sepak.
Baru-baru ini, Adli memperoleh RM250 daripada ayahnya menebar roti canai selama tiga hari sewaktu cuti sekolah sempena Awal Muharram.
"Ayahnya memberi duit upah itu sebagai semangat dan penghargaan untuk dia yang membantu di warung.
"Tiada paksaan dari kami ibu bapa untuk dia tebar roti canai. Dia memang minat dan rajin bantu kami di kedai," ujarnya.
Dalam pada itu, kehebatan Adli turut mencuri tumpuan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika satu majlis di Stadium Indera Mulia Ipoh, Perak pada Mei lalu.
Si kecil tersebut juga mendapat jemputan membuat persembahan pada malam 31 Ogos depan di Manjung, Perak dan program Jabatan Pendidikan Negeri bersama Saarani pada 27 Julai ini.
Menjengah ruangan komen, rata-rata warganet kagum dengan kehebatan Adli menebar roti canai dengan kemas dan cekap, ada juga yang memuji kanak-kanak tersebut kerana menghabiskan cuti sekolah dengan membantu si ayah menguruskan kedai makan.
Sementara itu, ramai juga berpendapat Adli akan berjaya pada masa akan datang dengan menggunakan bakat dan pengalaman menebar roti canai.
@sinarharianonline Baru berusia 10 tahun, namun kemahiran menebar dan 'menerbangkan' roti canai membuatkan sesiapa melihatnya terpukau. Menerusi rakaman yang tular di TikTok, kelihatan si cilik begitu asyik menerbangkan roti canai di warung milik bapanya disaksikan pelanggan yang menikmati sarapan. Malah ada segelintir daripada mereka merakam gelagat ibarat bintang kecil yang sedang membuat persembahan. Menurut Noor Diana Ismail, 40, anak bongsunya mula menunjukkan minat menebar roti canai sejak dua tahun lalu apabila dia sering menemani bapanya di warung. Muzik: When We Were Kids - Indie Box dari Bensound.com #SinarHarian #SinarTerkini #VideoViral #AdliNurImanAhmad #RotiCanai
original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!