Hati-hati dengar ceramah berbicara dengan malaikat maut, semut

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

DARI sudut penguatkuasaan dan tindakan, Malaysia adalah antara negara yang cepat bertindak dalam mengekang ajaran sesat daripada terus meluaskan pengaruhnya di negara ini.

Syabas diucapkan kepada pihak berkuasa agama sama ada di peringkat negeri dan pusat yang sentiasa memantau ajaran-ajaran yang menyimpang daripada landasan agama supaya rakyat negara ini sentiasa terpelihara akidah masing-masing.

Namun, ledakan media sosial yang terlalu pantas menyebabkan usaha untuk menghalang ajaran sesat daripada terus menular semakin mencabar seiring kepantasan teknologi itu sendiri.

Segala macam ajaran boleh diakses dengan mudah melalui telefon bimbit dan bagi yang rapuh pegangan akidahnya, mereka boleh terpengaruh sedikit demi sedikit yang akhirnya menjadikan seseorang individu itu tidak dapat menilai mana satu ajaran yang benar atau pun sebaliknya.

Maka, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak berkuasa agama perlu bekerjasama untuk bertindak lebih agresif sama ada menyekat ataupun menggunakan kaedah pelabelan untuk video-video ajaran yang telah dikategorikan sebagai sesat.

Misalnya, bagi setiap video di Tiktok selepas ini, mana-mana ajaran daripada guru yang sudah dikenal pasti menyimpang wajar dipaparkan notifikasi "SESAT" atau pun apa-apa perkataan lain yang sesuai.

Ia bagi mengingatkan pelayar internet supaya lebih berwaspada dan tidak terpengaruh dengan kata-kata dan ucapan di dalam video yang disampaikan walaupun sering kali diselitkan dengan ayat-ayat al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Tugasnya mungkin berat, tapi itulah usaha yang perlu dilakukan pada era yang mencabar pada waktu ini.

Kita tidak mahu misalnya ajaran Mama Gufron yang telah banyak mengumpulkan pengikutnya di Indonesia meraih kepercayaan dari rakyat negara ini pula.

Individu yang mendakwa dirinya boleh bercakap dengan malaikat maut, bidadari, semut, cacing telah menarik minat banyak tontonan dari rakyat Malaysia.

Kita bimbang, mula-mula jadi bahan jenaka lama kelamaan ramai pula terpedaya dan menjadi pengikutnya.

Pada masa sama umat Islam perlu sentiasa meneguhkan akidah dengan menuntut ilmu daripada guru yang bertauliah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!