29 tahun memperingati genosid etnik Bosnia

Seorang wanita melihat senarai nama mangsa yang dibunuh tentera Serbia di tugu peringatan diletakkan di Potocari.
Seorang wanita melihat senarai nama mangsa yang dibunuh tentera Serbia di tugu peringatan diletakkan di Potocari.
A
A
A

SREBRENICA - Ribuan orang ramai dijangka berkumpul di Srebrenica bagi memperingati pembunuhan beramai-ramai atau genosid penduduk Islam Bosnia Herzegovina pada tahun 1995 semasa perang saudara di negara itu.

Pada 11 Julai 1995, tentera Serbia Bosnia menawan bandar Bosnia timur yang pada masa itu wilayah yang dilindungi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan 'menyembelih' 8,000 golongan lelaki dan kanak-kanak Islam.

Pembunuhan beramai-ramai yang dianggap terburuk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua telah diputuskan genosid oleh dua mahkamah antarabangsa.

Pada Mei, Perhimpunan Agung PBB (UNGA) menerima pakai satu resolusi yang mengisytiharkan 11 Julai sebagai 'Hari Refleksi dan Peringatan Antarabangsa Genosid 1995 di Srebrenica'

Sanak saudara mangsa kekejaman tentera Serbia berkumpul semasa hari memperingati pembunuhan penduduk Bosnia di The Hague, Belanda.
Sanak saudara mangsa kekejaman tentera Serbia berkumpul semasa hari memperingati pembunuhan penduduk Bosnia di The Hague, Belanda.

Bagaimanapun, resolusi itu ditentang hebat oleh Serbia, yang meneruskan untuk menafikan pelakuan jenayah kejam itu.

Presiden entiti Serbia-Bosnia, Milorad Dodik telah berulang kali menafikan pembunuhan beramai-ramai dan mengatakan pentadbirannya tidak akan mengiktiraf resolusi itu.

Sebelum ini, mahkamah PBB menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap pemimpin politik zaman perang Serbia-Bosnia, Radovan Karadzic dan ketua tenteranya Ratko Mladic kerana jenayah perang termasuk pembunuhan beramai-ramai Srebrenica.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, kira-kira 14 lagi mayat pertumpahan darah itu termasuk seorang remaja berusia 17 tahun akan dikebumikan di tanah perkuburan di Potocari, luar Srebrenica.

Beriz Mujic, yang mayatnya ditemui di wilayah Srebrenica tahun lalu akan dikebumikan di sebelah abangnya iaitu Hazim.

Setakat ini, mayat yang dijumpai tidak lengkap dan daripada 6,988 mangsa Srebrenica telah dikebumikan, majoriti besar daripada mereka di letakkan bawah batu nisan putih di Potocari.

Penunjuk perasaan memegang sepanduk dibaca 'Mars Mira' atau 'Perarakan Keamanan' semasa berarak di hutan di kampung Nezuk, timur Bosnia Herzegovina.
Penunjuk perasaan memegang sepanduk dibaca 'Mars Mira' atau 'Perarakan Keamanan' semasa berarak di hutan di kampung Nezuk, timur Bosnia Herzegovina.

Jurucakap institut Bosnia untuk orang hilang memberitahu AFP bahawa mereka masih mencari kira-kira 1,000 orang yang dibunuh dalam konflik Bosnia-Serbia.

Bagi menutup jenayah itu, tentera Serbia-Bosnia telah memindahkan mayat mangsa ke apa yang dipanggil kubur besar sekunder.

Pada Rabu, Kesatuan Eropah (EU) menggelar kekejaman itu sebagai 'salah satu detik paling gelap dalam sejarah Eropah moden'.

"Tiada tempat di kalangan kita untuk mereka yang menafikan pembunuhan beramai-ramai, cuba menulis semula sejarah dan memuliakan penjenayah perang," kata ketua dasar luar EU, Josep Borrell dan pesuruhjaya pembesaran EU, Oliver Varhelyi dalam satu kenyataan bersama.

Upacara peringatan tahunan bermula pada hari Isnin dengan perarakan sejauh 100 kilometer menuju ke Srebrenica.

Beberapa ribu orang menyertai perarakan dari kampung Nezuk, di mana mangsa pertama yang terselamat tiba beberapa hari selepas pembunuhan beramai-ramai itu.

Perang Bosnia pada tahun 1992 hingga1995 antara etnik Croatia, Muslim dan Serbia telah meragut kira-kira 100,000 nyawa. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!