Muka baharu beri impak positif di AUG 2024

Skuad karate yang menampilkan ramai muka baharu di AUG Surabaya-Malang 2024 ternyata menghasilkan impak positif.
Skuad karate yang menampilkan ramai muka baharu di AUG Surabaya-Malang 2024 ternyata menghasilkan impak positif.
A
A
A

PENCAPAIAN tiga pingat emas disifatkan sepadan dengan penampilan 40 peratus kudrat muka baharu ketika skuad karate negara menyingkap cabaran Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024.

Menurut pengurus skuad karate negara ke AUG Surabaya-Malang 2024, Aliza Yahoo, pencapaian skuad sukan tempur itu juga secara keseluruhan mencapai sasaran tiga emas diletakkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Secara keseluruhan skuad karate meraih tiga pingat emas, dua pingat perak dan lapan pingat gangsa di temasya ke-21 kali ini, biarpun pencapaian tidak menyamai prestasi Ubon Ratchathani 2022 dengan enam pingat emas, tujuh pingat perak dan lapan pingat gangsa.

“Namun sesuatu yang positif di pentas AUG 2024 kali ini apabila dimanfaatkan sepenuhnya atlet-atlet untuk beraksi di pentas kompetitif.

“Antara atlet mencipta kejutan bagi penampilan pertama adalah penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, KS Thevendran, pemenang pingat emas kategori kumite lelaki Bawah 55 kilogram,” katanya.

Mengenai saingan di AUG Surabaya-Malang 2024, Aliza menyifatkan tuan rumah Indonesia dan Thailand merupakan antara negara yang perlu diberikan perhatian pada edisi ke-22 nanti.

“Bagi pasukan karate persiapan yang lebih rapi seperti latihan berterusan perlu dilakukan bagi menghadapi AUG 2026 di laman sendiri.

“Selain latihan yang berterusan, siri pendedahan perlawanan peringkat kebangsaan dan luar negara juga satu keperluan bagi memantapkan daya saing atlet,” kata Aliza yang memaklumkan sebanyak 30 hingga 40 peratus atlet AUG 2024 berpotensi kekal bagi kempen 2026.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!