Kilang biskut simpan 400kg gula tanpa kebenaran kena tindakan
TAIPING - Sebuah kilang biskut di Jalan Simpang di sini, dikenakan tindakan selepas disyaki menyimpan 400 kilogram gula pasir kasar tanpa kebenaran pada Khamis.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, perbuatan itu terbongkar selepas pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di premis terbabit.
Menurut beliau, kilang itu gagal mengemukakan permit selepas pasukan menemukan barang kawalan tersebut.
"Gula merupakan barang berjadual dan premis itu disyaki menyimpan barang kawalan tersebut tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.
"Barang kawalan dan dokumen berkaitan bernilai RM1,464 telah disita untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut beliau, tindakan kes diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!