Sunnah saling memberikan hadiah
Amalan mulia itu mampu lenyapkan sifat dengki, pelihara hubungan baik sesama manusia dan timbulkan rasa simpati
APABILA menerima hadiah, hati kita pasti akan berbunga-bunga riang. Seronok apabila ada orang sudi memberi, menandakan diri kita masih terpahat kemas dalam ingatan.
Tidak kiralah kecil atau besar, cantik atau tidak dan murah atau mahal, semua itu sedikit pun tidak mencacatkan perasaan gembira kepada penerimanya. Begitulah ‘kuasa’ hadiah.
Dalam buku bertajuk Garis Masa Hayat al-Rasul SAW karya Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Nabi Muhammad SAW digambarkan banyak memberi hadiah kepada sahabat-sahabatnya.
Baginda SAW pernah memerdekakan semua hamba sahayanya dan bersedekah tujuh dinar yang ada dalam simpanannya.
Bukan itu sahaja, Baginda turut membahagikan senjata-senjata kepada orang Islam. Tatkala menerima hadiah, kekasih ALLAH itu pasti akan membalasnya kembali dengan pemberian yang lebih baik atau lebih banyak.
Mengapa agama Islam dan Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk memberikan hadiah? Bukan sekadar hadiah, tetapi kita juga disarankan untuk bersedekah dan melakukan hibah. Apakah signifikannya?
Hadiah bermanfaat
Ketika dilontarkan pertanyaan itu, Pensyarah Fakulti Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Ustaz Mohd Shamsul Hakim Abd Samad menjelaskan, sememangnya memberi hadiah mahupun sedekah atau hibah merupakan tuntutan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya kamu akan saling mengasihi dan mencintai.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi, At-Tabarani dan Al-Bukhari)
Ujar beliau, anjuran memberikan hadiah tersebut secara jelas memberikan manfaat baik kepada pemberi mahupun penerimanya.
Antara lain katanya, galakan itu berupaya menghilangkan sifat dengki dan iri hati, selain menjaga hubungan baik sesama manusia.
“Amalan ini juga dapat menimbulkan perasaan simpati sesama kita atau dalam kalangan masyarakat terutamanya melibatkan golongan yang memerlukan.
“Demikian antara hikmah mengapa agama Islam dan Nabi menganjurkan kita untuk saling memberikan hadiah antara satu sama lain,” katanya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, jelas Ustaz Mohd Shamsul Hakim, pemberian itu secara asalnya tidak membataskan penerimanya sama ada melibatkan individu yang rapat dengan kita atau tidak.
Ia selagi mana bingkisan itu memberikan manfaat kepada penerimanya dan bukan bertujuan menyalahi syariat-syariat ALLAH SWT atau membantu seseorang melakukan kejahatan, ungkapnya.
Seperkara lagi, ahli akademik itu mengingatkan, sebaiknya biarlah pemberian tadi adalah sesuatu yang paling kita sayangi sepertimana saranan ALLAH dan Rasul-NYA.
Meskipun perkara itu bukan ‘syarat’ pemberian, tetapi ujar beliau, bingkisan tersebut dianjurkan sedemikian agar kita memperoleh ganjaran yang tertinggi di sisi ALLAH SWT.
“Kalau boleh biarlah sesuatu yang kita bagi, mudah-mudahan ia akan dihitung daripada amal terbaik kita.
“Paling penting, berikan dengan penuh keikhlasan dan rela hati, bukan kerana terpaksa dan sebagainya,” titipnya.
Tiga pemberian tak boleh ditolak
Menyambung hujah, Ustaz Mohd Shamsul Hakim kemudian memperincikan beza di antara sedekah, hadiah dan hibah.
Jelas beliau, walaupun ketiga-tiganya itu termasuk sebagai satu bentuk pemberian, tetapi mempunyai kelainan dari segi bagaimana ia diberikan dan di sebalik pemberian tersebut.
Hibah merupakan pemberian tanpa sebarang balasan atau maksud dan tujuan tertentu, terangnya.
“Walaupun sama seperti hadiah, tapi hadiah diberikan dengan rasa hormat disampaikan dengan tujuan untuk memuliakan dan menghormati penerimanya seperti ibu bapa kita.
“Berlainan pula dengan sedekah yang mana tujuannya adalah untuk kita berbuat ihsan khususnya berbelas kasih terhadap orang memerlukan dengan maksud untuk mendapatkan keredaan ALLAH SWT,” hurainya dengan panjang lebar.
Kepada satu soalan, penceramah itu menjawab: “Terdapat tiga pemberian yang tidak boleh ditolak sebagaimana disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW iaitu bantal alas, susu atau minyak masak dan minyak wangi.
“Walaupun kebanyakannya datang daripada hadis yang berstatus daif (lemah), tetapi apabila dihimpunkan riwayat-riwayatnya, hadis tersebut diangkat kepada darjat hasan.
“Kalau kita bertamu di rumah orang dan dihulurkan tiga benda ini, maka jangan ditolak kerana ia menzahirkan penghormatan yang ingin disampaikan oleh tuan rumah kepada kita,” katanya.
Bagi sesiapa yang suka memberi, Ustaz Mohd Shamsul Hakim menitipkan pesanan agar pasakkanlah dalam minda masing-masing untuk tidak bersikap mengungkit apalagi mengharapkan balasan mahupun bersifat buruk siku.
“Lebih baik kita menolak untuk memberi daripada berbuat demikian, kemudian menyusuli dengan perkataan-perkatan yang menyakitkan hati penerima tersebut.
“Jika itu pun sudah dilarang, apatah lagi sampai kita menuntut balasan. Ini sesuatu yang bercanggah dengan anjuran Islam.
“Ingatlah, setiap daripada kiriman tersebut, yang selayaknya memberikan balasan kepada pemberi ialah ALLAH SWT,” katanya menoktahkan bicara.
ANEKDOT
Adab memberi dan menerima hadiah menurut Imam Al-Ghazali
1. Adab memberi hadiah
- Apabila memberi, jangan pandang diri kita yang mulia. Sebaliknya berilah dengan perasaan memuliakan penerimanya, barulah kita dapat menjaga keikhlasan.
- Usah tunjuk perasaan tidak senang, tidak suka atau terpaksa ketika melakukan pemberian. Sebaliknya pamerkanlah senyuman dengan ketulusan dan rasa senang hati.
- Bersyukur kepada ALLAH SWT apabila melihat orang yang akan menerima hadiah tersebut.
- Reda dengan bingkisan diberi dan tidak mengungkit-ungkit.
2. Adab menerima hadiah
- Jangan tunjukkan rasa tidak suka atau merasakan pemberian itu kurang perlu, sebaliknya maniskan wajah dan zahirkanlah kegembiraan kita.
- Doakan kebaikan untuk si pemberi atau sekurang-kurangnya ucapan terima kasih.
- Pamerkan keceriaan ketika menerima hadiah walaupun sekecil-kecil pemberian.
- Jika mampu, balaslah pemberian. Andai tidak mampu membalas, memadailah dengan mendoakan pemberi tadi.
- Zahirkan penghargaan dan pujian kepada pemberi dengan kalimah yang baik serta tidak melampau.
- Usah jadikan hadiah itu untuk kita ‘tunduk’ kepada pemberinya.
- Jangan sampai pemberian yang diterima itu menghilangkan agama kita atau mendorong diri berbuat kejahatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!