Sabah berdepan JDT tanpa dua tonggak

Pemain-pemain Sabah giat menjalani latihan sebagai persediaan berdepan JDT.
Pemain-pemain Sabah giat menjalani latihan sebagai persediaan berdepan JDT.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Tanpa khidmat dua tonggak Saddil Ramdani dan Darren Lok, Sabah FC dijangka berdepan cabaran getir apabila melayan kunjungan penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Likas pada Sabtu.

Malah, pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee memaklumkan ketiadaan kedua-dua pemain itu yang masih mengalami kecederaan juga menghadirkan ujian karakter kepada pemain lain berdepan pendahulu liga tersebut.

"Apa yang penting mereka perlu mengambil peluang ini sebaik mungkin termasuk memberi komitmen tinggi selain menimba pengalaman serta bersiap sedia mental dan fizikal bersaing dengan pasukan ternama Liga Super.

“Ini perlawanan yang sangat berbeza, sudah tentu melibatkan kedudukan liga yang kita tahu perlawanan Sabtu ini sangat penting dan lebih-lebih lagi bermain dengan pasukan JDT.

“Bukan satu perkara yang mudah, tetapi kita harus memberikan saingan hebat serta memastikan Sabah dapat beraksi dengan lebih baik terutama selepas tewas dua perlawanan dengan Terengganu baru-baru ini,” katanya.

Kim Swee memberi arahan kepada pemain-pemain Sabah semasa sesi latihan menjelang aksi berdepan JDT.
Kim Swee memberi arahan kepada pemain-pemain Sabah semasa sesi latihan menjelang aksi berdepan JDT.

Mengenai beberapa isu melibatkan Sabah yang tular di media sosial baru-baru ini Kim Swee berkata, semua isu tersebut sudah pun diselesaikan dan berharap, semua pemain memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan penting esok.

Artikel Berkaitan:

“Kita yakin isu-isu luar ini tidak akan mengganggu tumpuan dan fokus pemain, mereka perlu meningkatkan prestasi selepas gagal memperoleh kemenangan daripada dua perlawanan yang lepas.

“Kita tidak bermain dengan begitu baik dan mereka harus melupakan kekalahan tersebut dengan menumpukan pada perlawanan esok agar mereka dapat bermain serta mengembalikan prestasi sebenar selepas tewas kepada Terengganu," kata Kim Swee.

Tambahnya, kehadiran penyokong-penyokong The Rhinos memainkan peranan penting untuk meningkatkan semangat pemain selepas tewas kepada Terengganu pada jumlah jaringan yang cukup besar.

“Saya tahu ramai pihak yang kecewa, namun kita harus teruskan di mana ini penting untuk mendapatkan sokongan berterusan terutama daripada para penyokong yang sememangnya akan memberi impak yang sangat berlainan.

"Kehadiran penyokong-penyokong di Stadium Likas sudah pasti menyemarakkan lagi semangat sekali gus memberi motivasi positif kepada pemain-pemain sebelum Sabah berdepan JDT," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!