JDT congak cabaran sengit di Likas
PEMAIN skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) diharap bersedia untuk mengharungi cabaran sengit pada aksi Liga Super berdepan Sabah di Stadium Likas pada Sabtu.
Pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio berkata, skuad The Rhinos kendalian jurulatih berpengalaman, Datuk Ong Kim Swee itu pastinya akan beraksi dengan sebaik mungkin dalam usaha ‘memerangkap’ skuad kendaliannya itu di hadapan penyokong sendiri.
“Bagi saya, perlawanan dengan Sabah FC ini satu perlawanan yang sukar kerana Sabah (FC) sentiasa menjadi lawan yang sukar buat kami.
“Bagaimanapun, kami tetap perlu mempamerkan ‘permainan’ yang sebenar iaitu secara protagonis dan dinamik.
“Lagi pun, kami memang perlukan perlawanan-perlawanan seperti ini dalam usaha untuk meningkatkan lagi keupayaan pasukan pada masa akan datang,” katanya.
Untuk rekod, setelah mengharungi empat perlawanan, JDT kekal selaku pendahulu Liga Super ketika ini dengan 12 mata hasil empat kemenangan berturut-turut.
Sabah FC pula berada pada kedudukan keempat dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri setakat ini.
Sementara itu, Bidoglio yakin kesemua pemain akan memberikan aksi terbaik masing-masing dalam usaha menjamin kejayaan pasukan kali ini.
Malah, Bidoglio turut yakin kesebelasan pemain akan memberikan ‘lebih’ daripada apa yang direncanakan.
“Walaupun perlawanan ini agak sukar, tetapi saya percaya pemain akan berikan yang terbaik, sebelum ini kita juga telah perbaiki dari segi set-pieces dan sebagainya.
“Oleh itu, saya yakin pemain mahu memberikan sesuatu yang lebih bagi menjamin kejayaan pasukan,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!