[VIDEO] Penganggur samun kedai serbaneka guna parang ditahan

A
A
A

PENAMPANG - Polis Penampang berjaya menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun berkumpulan menggunakan parang dalam satu serbuan di sebuah kampung di Papar, pada Selasa lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, suspek berusia 47 tahun ditahan bersama barang rampasan termasuk parang, pisau, senapang serta peluru.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan diterima daripada pengadu pada 16 Jun lalu berkaitan kes samun di sebuah kedai serbaneka di Pusat Industri Jalan Penampang.

Sammy (dua dari kanan) menunjukkan senapang yang dirampas dalam serbuan di sebuah kampung di Papar bagi menahan suspek kes samun berkumpulan menggunakan senjata di Penampang. Gambar kecil: Lakaran wajah seorang lagi suspek yang masih bebas.
Sammy (dua dari kanan) menunjukkan senapang yang dirampas dalam serbuan di sebuah kampung di Papar bagi menahan suspek kes samun berkumpulan menggunakan senjata di Penampang. Gambar kecil: Lakaran wajah seorang lagi suspek yang masih bebas.

"Dua suspek disyaki lelaki memakai topi keladar dan pelitup muka telah masuk ke dalam premis di mana salah seorang suspek bertindak mengeluarkan parang dan meminta wang daripada pengadu.

"Ketika kejadian, rakan sekerja pengadu telah membuka peti wang tersebut dan kedua-dua suspek mengambil RM1081.50 yang disimpan dalam peti tersebut.

"Suspek juga turut mengambil satu telefon bimbit milik pengadu yang dianggarkan bernilai RM2,000 sebelum kedua-duanya beredar dari lokasi kejadian menggunakan sebuah motosikal," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sini, pada Jumaat.

Katanya lagi, susulan kejadian itu pihaknya menerima maklumat berhubung salah seorang suspek dan serbuan dibuat oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (IPD) Penampang bersama cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek seorang lelaki tempatan yang juga penganggur mempunyai dua rekod kesalahan lampau iaitu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam pergaduhan.

"Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Sebanyak 28 barang dirampas dan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.

"Kita percaya terdapat empat lagi kes rompakan yang dilakukan suspek iaitu di Penampang, dua di Kota Kinabalu dan Keningau di mana suspek menggunakan modus operandi samun secara berkumpulan menggunakan senjata," katanya.

Sammy berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

"Polis juga turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen atau permit yang sah.

"Dalam masa sama, pihak kita juga turut memburu seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Norisyam Syed Putra Arsad di talian 018-9618072," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!