JP Morgan tingkat penarafan Malaysia selepas hampir enam tahun

Rajiv dalam satu wawancara bersama stesen televisyen luar negara, CNBC pada Khamis.
Rajiv dalam satu wawancara bersama stesen televisyen luar negara, CNBC pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - JP Morgan meningkatkan penarafan Malaysia kepada ‘neutral’ selepas hampir enam tahun mengekalkan pendiriannya terhadap negara tersebut pada tahap ‘underweight’ susulan langkah berani kerajaan dalam membangunkan ekonomi.

Ketua JP Morgan Bagi Asia Pasifik (kecuali Jepun dan China), Rajiv Batra berkata, keputusan tersebut didorong beberapa faktor utama, termasuk dari segi pelaburan berpusatkan data, pembaharuan dasar, serta pembinaan infrastruktur.

“(Keadaan itu) buat kita lebih positif terhadap perkembangan negara dan lebih menarik lagi, apabila semua tanda-tanda itu dicatatkan pada tahun lepas,” katanya dalam satu wawancara bersama stesen televisyen luar negara, CNBC pada Khamis.

Ujar Rajiv, tahap kemajuan Malaysia juga dilihat memberangsangkan apabila mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini dan pertumbuhan pendapatan menjejaki sekitar 10 hingga 11 peratus.

Menurutnya, prestasi yang memberi impak positif terhadap ekonomi Malaysia itu memerlukan penilaian semula dan peningkatan seterusnya.

Sementara itu, Rajiv turut mengulas berhubung langkah berani pentadbiran kerajaan Malaysia berhubung pemotongan subsidi, yang sering dianggap sebagai tindakan kontroversi dan sensitif.

Kata beliau, kerajaan memastikan pendekatan pemotongan subsidi termasuk diesel itu dilaksanakan ke arah penggunaan ekonomi yang produktif namun, pada masa sama memastikan golongan benar-benar memerlukan diberikan bantuan tunai secara bulanan.

“Rakyat juga menyedari bahawa penjimatan wang daripada subsidi itu akan dimanfaatkan bagi tujuan ekonomi yang lebih produktif sama ada dalam aspek literasi, latihan kemahiran semula atau dasar gaji progresif yang menyaksikan Malaysia cuba mengambil inspirasi daripada pengalaman Singapura,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Rajiv, pentadbiran kerajaan semasa selama satu setengah tahun itu turut membuktikan bahawa mereka mengotakan janji dan menjalankan tugas dengan baik.

Jelasnya, ia termasuk meluluskan beberapa dasar dan inisiatif pembaharuan seperti pelancaran Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Lebih penting lagi, kerajaan ini meneruskan konsolidasi fiskal tanpa mengorbankan pertumbuhan dengan menyasarkan negara mencapai peningkatan sebanyak lima peratus,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!