[VIDEO] Pensyarah kanan IPTA tak mengaku kemuka tuntutan palsu

A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pensyarah kanan di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM22,866 empat tahun lalu.

Tertuduh, Abd Aziz Mohd Azoddein, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri itu didakwa dengan tiga pertuduhan iaitu sebagai ejen kepada universiti berkenaan dengan niat memperdayakan prinsipalnya telah mengemukakan dokumen palsu pembelian bahan bekalan untuk penyelidikan dan bayaran penginapan bagi sebuah program atas nama Gomogi Consulting dan perakuan penerimaan bahan untuk kegunaan program atas nama Greentel Solution Enterprise bernilai keseluruhan RM22,866

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan olehnya di Jabatan Bendahari universiti berkenaan pada 15 Disember 2020 dan 15 Disember 2021.

Abd Aziz mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM22,866 empat tahun lalu.
Abd Aziz mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM22,866 empat tahun lalu.

Pendakwaan terhadap bapa kepada enam anak itu dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapaan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Dalam prosiding itu, Timbalan SPRM, Mohammad Asyraf Mohamed Tahir dan Rif'ah Izzati Abdul Mutalib menawarkan jaminan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mohammad Asyraf juga meminta agar mahkamah membenarkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM sebulan sekali, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Amirul Afiqq Mohamad Lokman merayu agar mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamannya sekitar RM15,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos untuk sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!