[VIDEO] Bapa ‘Baby Syifaa’ didakwa salah guna wang RM67,000

A
A
A

KUALA LUMPUR - Bapa kepada 'Baby' Syifaa, Yuseri Yusoff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan menyalahguna wang milik seorang wanita sebanyak RM67,000 pada tahun lalu.

Yuseri, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak perempuan itu didakwa menyalahguna harta sebanyak RM67,000 milik seorang wanita di sebuah premis di Jalan Wangsa Delima 6, Wangsa Maju pada 20 Julai hingga 12 Oktober 2023 lalu.

Dia yang memakai baju T berwarna kelabu, didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika disabitkan kesalahan.]

Bapa kepada Baby Syifaa, Yuseri Yusof (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat berhubung kes penipuan dalam urusan yuran guaman. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Bapa kepada Baby Syifaa, Yuseri Yusof (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat berhubung kes penipuan dalam urusan yuran guaman. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hamizah Hisan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Gaithri Thomas yang mewakili tertuduh, merayu kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya yang bekerja sebagai pempengaruh tidak mempunyai pendapatan tetap, selain perlu menyara anak yang berusia sembilan tahun.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Illi Marisqa membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 Ogos depan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan lelaki itu, berhubung kes penipuan dalam urusan yuran guaman pada jam 2.45 petang Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki terbabit yang juga aktivis memperjuangkan kes-kes penganiayaan disiasat berhubung menyeleweng wang sumbangan orang ramai yang disalurkan ke akaun syarikatnya, YY Community Center.

Sebelum ini, kisah kanak-kanak malang itu meraih simpati pelbagai pihak selepas bayi itu meninggal dunia di pusat asuhan pada 2022.

Ramai yang menghulurkan derma kepada keluarga Baby Syifaa sebagai sokongan supaya mereka mendapatkan peguam terbaik, untuk membela nasibnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, menerusi ujian saringan air kencing, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!