Tolak kekosongan kerusi berisiko buka ruang 'Langkah Sheraton'

Tangkap layar muka depan akhbar Sinar Harian pada Jumaat.
Tangkap layar muka depan akhbar Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mengosongkan enam kerusi Parlimen bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melemahkan Undang-undang Anti Lompatan (UAL) sekali gus berisiko membuka ruang kepada Langkah Sheraton seterusnya.

Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) berkata, Johari menolak kekosongan kerusi lima ahli Dewan Rakyat Bersatu (kecuali Labuan) atas alasan memastikan kestabilan politik jangka panjang dan tidak berperlembagaan peruntukan anti lompatan dalam perlembagaan parti tersebut.

“Tindakan itu turut mencemarkan nama baik jawatan tinggi sebagai Speaker Dewan Rakyat. Keputusan Speaker untuk tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi untuk Labuan adalah atas alasan bahawa ahli Parlimen itu mempunyai kes mahkamah yang sedang berjalan berhubung keahliannya Bersatu.

“Keputusan sebegitu juga berisiko membuka celah kepada mana-mana pembelot untuk melepaskan kerusi mereka dikosongkan dengan menyaman parti mereka,” katanya pada Jumaat.

Sebelum ini Harian Harian melaporkan, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu menerima surat daripada Johari pada lewat petang Selasa lalu yang menyatakan tidak berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk enam kerusi Parlimen bekas ahli Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar.

Enam ahli Parlimen itu ialah ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Pada Khamis, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San juga mengumumkan tiada kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari.

Menurutnya, pemberhentian keahlian ADUN Selat Klang dalam Bersatu didapati sebagai satu pemecatan terancang (constructive expulsion) di bawah operasi Perkara LXVA 2(c) Perlembagaan Negeri Selangor.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!